ISSUE 1 2024
Pengurangan Sisa Makanan di Bulan Ramadan: Tanggungjawab Bersama
Latifah Abd Manaf, Hanania Mirza Mustafa
Sisa makanan merupakan komposisi sisa pepejal yang paling banyak dihasilkan di Malaysia terutamanya daripada kawasan perumahan. Noor Ainon (2022) melaporkan Malaysia telah menghasilkan 38,000 tan sisa pepejal sehari, dengan 17,000 tan daripadanya adalah sisa makanan. Sisa ini terhasil daripada aktiviti penyediaan makanan ataupun lebihan makanan yang tidak habis dimakan yang membawa kepada pembaziran makanan. Penghasilan sisa makanan melonjak tinggi sepanjang bulan Ramadan seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani dimana pada tahun 2023 sebanyak 90,000 tan sisa makanan telah dihasilkan di sepanjang bulan Ramadan.

Pembaziran makanan pada bulan Ramadan mengundang pertanyaan serius akan tanggungjawab kita terhadap makanan dan cara kita meraikan bulan suci ini. Kajian oleh Mohd Faisal et al. (2023) menunjukkan bahawa terdapat korelasi positif antara budaya dan pembaziran makanan di Malaysia. Tradisi menyediakan dan menghidangkan makanan secara berlebihan sebagai suatu bentuk kemurahan hati telah menyumbang kepada peningkatan pembaziran, khususnya di sepanjan bulan Ramadan. Walaupun niatnya baik, perkara ini perlu dilihat semula untuk mengurangkan pembaziran makanan tanpa mengurangi makna kemurahan hati.

Pembaziran makanan mampu membawa beban kewangan dan kesan buruk terhadap alam sekitar. Kesan pembaziran ini bukan hanya terhadap sumber semula jadi yang terbuang secara sia-sia, tetapi juga peningkatan pelepasan gas metana yang memburukkan lagi isu perubahan iklim. Selain itu, sisa makanan yang terbuang di tapak pelupusan juga menimbulkan masalah kehilangan habitat kepada biodiversiti akibat pembukaan lebih banyak tapak pelupusan baharu.
Bagi menangani isu pembaziran makanan semasa bulan Ramadan, kita perlu mengambil beberapa langkah penting. Pertama, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan pembaziran makanan dan mendorong mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih bertanggungjawab. Kedua, mengamalkan kaedah penyimpanan makanan yang lebih baik dan meningkatkan kreativiti dalam menggolah lebihan makanan sebagai menu baharu. Ketiga, memperkuatkan kerjasama antara organisasi komuniti, pihak berkuasa tempatan, dan individu dalam program pengumpulan makanan lebihan yang masih elok untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Ramadan seharusnya menjadi waktu untuk menyemai lebih banyak kebaikan dan bukannya membuat pembaziran. Dengan mengamalkan sikap yang lebih bertanggungjawab terhadap makanan dan mempromosikan budaya yang lebih lestari, kita dapat mengurangkan pembaziran makanan secara ketara. Mari kita bersama-sama memanfaatkan bulan suci ini sebagai peluang untuk merenung dan mengambil tindakan yang lebih baik untuk mengurangkan pembaziran makanan, demi kesejahteraan bersama dan kelestarian alam sekitar. Semoga bulan Syawal yang bakal mendatang tidak akan terus melonjakkan sisa makanan yang terhasil.

Rujukan:
Astro Awani. (2024, Mar 12). 90,000 tan makanan dibazirkan Ramadan tahun lepas - CAP. Diambil dari Astro Awani: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/90000-tan-makanan-dibazirkan-ramadan-tahun-lepas-cap-461969
Mohd Faisal, A., Hasiful Fata, T., & Nuryn Nazura, Z. (2023). Religion, Culture and Food Waste Behavior among Muslim Consumers in Selangor. ESTEEM Journal of Social Sciences and Humanities, 7, 157-171.

Noor Ainon Mohamed. (2022, 6 Mei). Pembaziran makanan di Aidilfitri harus dikawal. Sinar Harian. Bahan diakses pada 6 Mei 2022, daripada https://www.sinarharian.com.my/article/201006/suara-sinar/analisis-sinar/pembaziran-makanan-di-aidilfitri-harus-dikawal