ISSUE 3 2021
Betul ke beg kertas lebih mesra alam?
Kita sering melihat di kaca TV, dalam dokumentari filem, pembeli-pembeli barangan di negara maju akan disediakan dengan beg kertas oleh peniaga bagi meletakkan barangan yang dibeli mereka untuk dibawa pulang. Suasana seperti ini hampir tidak nampak di Malaysia. Boleh dikatakan hampir semua pekedai runcit menyediakan beg plastik untuk kita meletakkan barang yang kita beli untuk dibawa pulang. Hebat budaya masyarakat negara maju ini, bukan? Kita pun tidak pasti bila budaya masyarakat kita ini akan berubah setanding dengan pemikiran mereka dalam menjaga alam sekitar. Budaya menghargai alam sekitar masih jauh terbelakang jika hendak dibandingkan dengan negara seperti Jepun dan Switzerland. Di negara membangun seperti Rwanda, mereka melarang penggunaan beg plastik. Di negara ini, mereka menghasilkan dan menggunakan sepenuhnya beg kertas. Negara Rwanda dinobatkan sebagai satu-satunya negara mesra alam di Afrika. Hebat bukan. Mungkin jika direnungkan sejenak, negara kita bila lagi ya? Janganlah kita berasa iri hati dengan apa yang telah dicapai oleh negara tersebut. Sebenarnya banyak usaha penjagaan alam sekitar telah dan sedang giat dijalankan di negara kita. Misalnya, banyak negeri telah melaksanakan hari tanpa beg plastik. Pada hari tertentu, beg plastik tidak dibekalkan kepada pelanggan. Di negeri Selangor pula, beg plastik perlu dibeli sekiranya kita memerlukannya untuk membawa pulang barangan yang dibeli. Syabas dan tahniah atas usaha-usaha ini. Sekurang-kurangnya dengan usaha sebegini, rakyat mulai memahami tanggungjawab mereka terhadap penjagaan alam sekitar. Masyarakat juga telah mula tahu tentang kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Masyarakat juga faham, apakah sebenarnya komitmen kerajaan terhadap isu alam sekitar. Bukan untuk menghukum. Bukan nak kata kita tak pandai jaga alam sekitar ini tetapi nak membawa satu mesej yang jelas iaitu penjagaan alam sekitar ini adalah tanggungjawab bersama.

Memilih untuk menggunakan beg plastik atau tidak, atau memilih alternatif yang lebih mesra alam hanyalah satu usaha kecil dari pelbagai lagi cara untuk menjaga alam sekitar. Tetapi pada pandangan saya untuk mendidik masyarakat biarlah bermula dengan usaha yang kecil seperti ini tetapi impaknya besar terhadap kelestarian alam sekitar kita. Apa yang lebih penting adalah masyarakat benar-benar memahami dan sedar tentang setiap tindakan mereka dalam membuat pemilihan sesuatu barangan, dalam konteks ini, membuat pemilihan sama ada untuk menggunakan beg plastik atau memilih untuk menggunakan beg kertas. Memilih secara bijak. Yang mana satu harus dipilih, beg plastik atau beg kertas. Pilihan sentiasa berada di tangan kita. Kata kunci yang ingin saya tanamkan di benak pemikiran kita adalah pemilihan yang tepat kerana disebabkan pilihan kurang bijak kita akan menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Kita tidak mahu menjadi orang yang pentingkan diri kerana alam ini bukan milik kita. Kita hanya berkongsi bersama. Tanggungjawab kita adalah memastikan alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik supaya ia bukan sahaja baik di masa kita mendiaminya tetapi juga kekal baik untuk kita mewariskannya kepada generasi akan datang. Kita tidak mahu generasi akan datang menyalahkan kita atas kurang bijaknya kita dalam membuat pemilihan barangan yang tepat.

Asasnya, penghasilan sesuatu barangan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap alam sekitar. Tidak ada satu barangan pun yang dihasilkan tidak memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Gas-gas yang dilepaskan dan sisa yang dihasilkan sepanjang kitar hayat barangan tersebut, semuanya memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Maknanya dalam penghasilan beg plastik atau beg kertas ini, kedua-duanya memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar. Kalau kedua-dua beg ini mendatangkan kesan buruk, manakah yang harus digunakan? Cuma semasa membuat pemilihan sesuatu barangan pembeli perlu tahu yang manakah barang yang lebih mesra alam. Dalam pemilihan antara beg plastik dengan beg kertas misalnya, benarkah beg kertas lebih mesra alam? Semua barangan umumnya melalui fasa hayat seperti fasa mendapatkan bahan mentah, fasa penghasilan, fasa pengedaran, fasa penggunaan dan akhirnya fasa di mana barang ini dibuang atau dilupuskan kerana barang ini tidak dapat digunakan lagi. Setiap fasa dalam kitar hayat barangan ini membebaskan gas-gas serta sisa yang akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Gas-gas yang dilepaskan dan sisa yang dihasilkan bagi setiap fasa tersebut boleh dikira dan diterjemah kepada kerosakan alam sekitar. Kerosakan alam sekitar ini termasuklah isu-isu alam sekitar yang biasa kita dengar seperti perubahan iklim, penipisan ozon, hujan asid dan banyak lagi. Kajian menyeluruh dengan mengambil kira fasa-fasa hayat ini digelar sebagai Penilaian Kitar Hayat. Bagi mengetahui yang manakah antara beg plastik dan beg kertas yang lebih mesra alam, penilaian kedua barangan ini perlulah dinilai pada keseluruhan fasa kitar hayat kedua-dua beg ini agar kita dapat membuat perbandingan yang betul. Barulah kita boleh tahu yang mana satukah beg yang lebih mesra alam. Beg kertas atau beg plastik? Benarkah beg kertas ini beg mesra alam?

Tahukah anda beg kertas 10 kali lebih berat berbanding dengan beg plastik. Beg kertas juga akan mengambil 10 kali lebih ruang berbanding beg plastik. Hal ini akan menyebabkan beg kertas memerlukan lebih kawasan di tapak pelupusan. Beg kertas diperbuat daripada tumbuhan dan akan mudah mereput dan terurai. Dalam kata mudah, beg kertas ini mudah rosak. Paling lama beg kertas boleh digunakan semula adalah dua hingga tiga kali. Selepas itu ia dibuang. Proses pereputan dan penguraian ini dibantu oleh bakteria. Dalam kata lain, bakteria akan memakan kertas tersebut. Gas-gas akan terbebas apabila bakteria memakan kertas-kertas ini. Gas-gas ini menyumbang kepada kerosakan alam sekitar. Proses penguraian ini dianggarkan sekitar 50 tahun. Sekiranya longgokan beg kertas terlalu banyak serta bercampur dengan bahan-bahan lain dalam longgokan sampah di tapak pelupusan, proses pereputan beg kertas juga akan menjadi lambat daripada biasa. Semasa proses penghasilan beg kertas ini, banyak tenaga digunakan. Penghasilan beg kertas memerlukan 4 kali ganda tenaga berbanding penghasilan beg plastik. Kos penghasilan beg kertas juga lebih tinggi berbanding beg plastik. Bagi memenuhi permintaan yang tinggi bagi beg kertas ini, ia diimport dari beberapa negara luar. Apabila ini berlaku bahan api pengangkutan juga banyak digunakan. Kesannya, jejak karbon meningkat. Kos pengangkutan juga meningkat disebabkan lebih ruang diperlukan untuk mengisi beg kertas ini berbanding beg plastik.

Bakteria tidak dapat memakan plastik tetapi plastik pula dapat diurai dengan bantuan sinaran UV matahari. Plastik dipecahkan menjadi cebisan-cebisan lebih kecil sehingga ia tidak kelihatan oleh mata kasar. Plastik halus yang tidak nampak ini disebut mikroplastik. Mikroplastik akan masuk ke dalam rantai makanan kita. Mikroplastik ini secara tidak langsung masuk dalam sistem pencernaan hidupan akuatik seperti ikan yang akhirnya menjadi santapan kita setiap hari tanpa kita sedari. Beg plastik pula mengambil masa 500 hingga 1000 tahun untuk mereput dan mengurai. Lama bukan. Bukan tujuh keturunan tetapi entah berapa keturunan belum tentu plastik ini dapat diurai sepenuhnya. Tetapi tidak semuanya buruk menggunakan beg plastik ini. Terdapat jenis beg plastik yang diperkukuhkan buatannya yang dapat digunakan beberapa kali sebelum dilupuskan. Maknanya bukan plastik pakai buang tetapi boleh digunakan beberapa kali. Beg plastik non woven boleh digunakan sehingga sebelas kali. Beg plastik non woven ini agak popular dan selalu nampak di mana-mana. Kita boleh nampak di kaunter-kaunter bayaran di pasaraya. Ada juga menjadikannya sebagai cenderamata untuk persidangan atau majlis-majlis tertentu. Selain itu ada juga beg plastik yang diperbuat daripada sisa minyak tumbuhan. Beg plastik jenis ini mudah mereput. Kita sebut sebagai plastik terbiodegradasi.

Memang agak sukar membuat pilihan apabila kita tahu bahawa kedua-duanya memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Mungkin ada yang merasakan tindakan kita selama ini memilih dan menggunakan beg kertas adalah sia-sia sebab tidaklah dikatakan mesra alam juga. Tulisan saya ini cuba menjentik minda pembaca agar membuat pemilihan sesuatu barangan berdasarkan kesedaran. Beg kertas atau beg plastik bergantung kepada cara penggunaan kita. Untuk menjaga alam sekitar ini, istilah pakai buang atau single use perlu menjadi ingatan setiap kali kita ingin membeli beg kertas atau beg plastik. Sekiranya perlu untuk membeli beg kertas atau beg plastik belilah yang tahan lama dan berkualiti. Beg ini boleh diguna beberapa kali sebelum ia rosak dan dibuang. Kilang-kilang beg plastik atau beg kertas akan terus menghasilkan dengan jumlah yang banyak apabila terdapat permintaan yang tinggi dari penggguna. Kesannya, bahan asas beg-beg ini akan terus dieksploitasi. Dengan menggunakan beg kertas atau beg plastik beberapa kali sebelum dibuang akan mengurangkan permintaan terhadap penghasilannya. Terdapat juga pilihan beg jenis lain yang boleh digunakan untuk kita bawa apabila pergi membeli belah seperti beg tot, beg kapas, dan beg jut. Kewajaran penggunaan pilihan-pilihan ini dari aspek alam sekitar akan saya bincangkan dalam penulisan saya yang akan datang.

Gambar sekadar hiasan