Gelombang Haba Di Eropah pada Musim Panas 2026

Anomali suhu permukaan laut, Jun 2026. Sumber: WMO
Semasa artikel ini ditulis, benua Eropah sedang dilanda gelombang haba yang luar biasa. Akhbar-akhbar melaporkan beribu-ribu kes kematian yang disebabkan oleh gelombang haba. Sebagai contoh, the Guardian pada 13 Julai 2026 menyatakan bahawa seramai 2700 orang di England dan Wales telah terkorban akibat gelombang haba tersebut. Laporan Reuters pada 9 Julai 2026 pula mencatatkan bilangan kematian melebihi 5,000 orang di Jerman akibat fenomena ini. Ketegangan tercetus di sekitar Paris apabila terdapat begitu ramai pembeli yang cuba mendapatkan penyaman udara yang dijual dalam bilangan terhad berikutan cuaca yang terlalu panas.
Berdasarkan data yang ditunjukkan oleh World Meteorological Organization, suhu permukaan laut global mencatatkan rekod anomali yang membimbangkan. Sebahagian besar Eropah Barat mengalami gelombang haba yang memecahkan rekod, serta gelombang haba marin di seluruh kawasan barat Mediterranean dan sepanjang pantai Atlantik. Purata suhu permukaan laut bulanan bagi kawasan lautan di luar wilayah kutub (60°S–60°N) adalah yang tertinggi bagi bulan Jun, mengatasi rekod sebelumnya yang dicatatkan pada Jun 2024 dengan margin hanya 0.01 °C. Menurut Copernicus Climate Change Service, keadaan ini sebahagiannya mencerminkan perkembangan keadaan El Niño yang kuat di kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik.
Gelombang haba tersebut memecahkan rekod suhu bulanan dan rekod sepanjang masa di beberapa negara Eropah serta menyumbang kepada kesan kesihatan yang serius, termasuk kematian akibat haba. Pada peringkat global, bulan Jun 2026 merupakan bulan Jun kedua paling panas dalam set data ERA5, dengan purata suhu udara permukaan sebanyak 16.54°C iaitu 0.56°C melebihi purata bagi bulan tersebut bagi tempoh 1991–2020 di belakang bulan Jun 2024. Purata suhu di kawasan daratan Eropah pada bulan Jun 2026 adalah yang kedua tertinggi pernah direkodkan bagi bulan tersebut. Eropah Barat, iaitu wilayah yang paling terkesan akibat gelombang haba, mengalami bulan Jun paling panas dalam rekod dengan purata suhu 20.74°C iaitu 3.05°C melebihi purata bulan Jun bagi tempoh 1991–2020 sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan pada bulan Jun 2025.

Data suhu di London. Sumber: https://weatherspark.com/
Berdasarkan data yang ditunjukkan di weatherspark.com, peningkatan suhu di London mula dikesan meningkat secara mendadak pada pertengahan bulan Mei iaitu pada penghujung musim bunga. Suhu di kota tersebut direkodkan lebih tinggi daripada data sejarah (historical data) pada 22-30 Mei (julat suhu 29-34°C). Kemudian suhu jatuh secara perlahan-lahan dan mula meningkat semula pada bulan Jun seiring dengan perubahan musim dari musim bunga ke musim panas. Pada bulan Jun, suhu di kota tersebut direkodkan lebih tinggi daripada data sejarah (historical data) bermula 21 Jun hingga 27 Jun (julat suhu 31-35°C) apabila suhu yang dicatatkan adalah sedikit rendah daripada data sejarah. Bermula 4 Julai, suhu mula dikesan sedikit tinggi daripada data sejarah sehingga 13 Julai dengan julat suhu yang lebih rendah (28-34°C) berbanding bulan Jun.
Di kawasan lain, Perancis mencatatkan hari paling panas dalam rekod pada 24 Jun iaitu catatan yang telah mengatasi rekod yang dicatatkan sehari sebelumnya dengan purata suhu kebangsaan 30.0° Celsius, melebihi rekod terdahulu yang dicatatkan pada Julai 2019 dan Ogos 2003, menurut Metéo-France. Di bandar Pulluau di barat Perancis , suhu yang direkodkan meningkat sehingga 43.8°C. Suhu waktu malam juga mencatatkan rekod kebangsaan baharu pada tahap 22°C. Amaran Merah (Red Alert) tahap tertinggi telah dikeluarkan untuk jumlah rekod sebanyak 58 jabatan meliputi sebahagian besar negara itu. Pihak berkuasa Perancis telah memberi amaran tentang risiko tinggi kebakaran hutan (wildfire) dalam keadaan kemarau yang semakin membimbangkan. Sepanyol pula mencatatkan hari-hari paling panas bagi bulan Jun dalam rekod pada 23 dan 24 Jun. Menurut Agensi Meteorologi Negara (AEMET), suhu di beberapa lokasi di seluruh negara tersebut telah melebihi 40°C, sekali gus mencatatkan banyak rekod suhu baharu bagi bulan Jun di stesen-stesen pemantauan. Bandar Bilbao mencatatkan suhu 42.7°C, iaitu suhu tertinggi bagi bulan Jun yang pernah direkodkan di bandar tersebut.
Haba yang berlebihan akibat gelombang haba boleh memberi tekanan fizikal yang tinggi kepada tubuh. Keadaan ini menjadi lebih buruk jika seseorang itu mengalami dehidrasi kerana jantung terpaksa mengepam lebih kuat dan pantas untuk menyejukkan badan. Bayi dan warga emas, serta individu yang mempunyai masalah kesihatan merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk terkesan dengan gelombang haba. Keadaan ini boleh mengakibatkan peningkatan kes serangan jantung, strok, dan kecemasan lain yang berpotensi membawa maut. Haba ekstrem boleh menjejaskan sesiapa sahaja, termasuk mereka yang cergas dan sihat, dan sering dianggap sebagai pembunuh senyap kerana gejala awalnya mudah terlepas pandang. Selain itu, apabila udara panas menjadi sangat lembap, tubuh manusia menjadi lebih sukar untuk menyejukkan diri melalui proses perpeluhan.
Rujukan
Damian Carrington (2026). May and June heatwaves killed about 2,700 people in England and Wales, data suggests. The Guardian.
Sumber: https://www.theguardian.com/environment/2026/jul/13/june-heatwave-killed-440-people-a-day-england-wales-data-suggests-climate-crisis
Michelle Roberts and Matt McGrath, More than 2,700 people may have died in exceptional May and June heatwaves in England and Wales. Sumber: https://www.bbc.com/news/articles/czx5zy82n7no
Reuters (2026). Heatwave linked to more than 5,000 deaths in Germany, RKI says.
Sumber: https://www.reuters.com/business/environment/heat-wave-linked-more-than-5000-deaths-germany-rki-says-2026-07-09/
World Meteorological Organization (2026). Western Europe has hottest June on record. Sumber: https://wmo.int/media/news/western-europe-has-hottest-june-record