Pokok Buah Nadir Hutan: Khazanah Hijau yang Semakin Dilupakan
Norzanalia Saadun, Paiman Bawon, Mohd Hasmadi Ismail, Mohd Farhan Shahrin, Rizal Mohd
Pengenalan
Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan kekayaan biodiversiti yang luar biasa. Di sebalik populariti buah-buahan komersial seperti durian, rambutan, mangga, dan dokong, negara kita sebenarnya menyimpan satu lagi khazanah alam yang semakin pudar daripada ingatan masyarakat, iaitu pokok nadir.
Bagi generasi muda, istilah “nadir” mungkin kedengaran asing. Pokok nadir merujuk kepada spesies tumbuhan tempatan, termasuk buah-buahan, ulaman, dan tumbuhan berguna, yang semakin jarang ditemui, kurang ditanam, kurang dikenali, dan berisiko hilang sekiranya tiada usaha pemuliharaan yang berterusan. Pada suatu ketika dahulu, pokok-pokok ini mudah ditemui di halaman rumah kampung, kebun tradisional, dan kawasan hutan semula jadi. Namun, arus pembangunan, perubahan guna tanah, pengurangan kawasan kebun tradisional, serta kurangnya penanaman semula telah menyebabkan sebahagian spesies ini semakin tersisih.
Kepelbagaian Pokok Nadir Tempatan dan Keunikannya.
Antara spesies pokok nadir yang masih boleh ditemui di beberapa kawasan di Malaysia termasuk Kundang, Sentul, Jambu Bol, Asam Gelugor, Kuini, Binjai, Bacang dan Tampoi. Keunikan spesies ini bukan sahaja terletak pada namanya, tetapi juga pada bentuk, warna, aroma, rasa dan kegunaannya dalam kehidupan masyarakat tempatan.
Sebagai contoh, buah Sentul mempunyai isi yang lembut dengan gabungan rasa manis dan masam yang menyegarkan. Asam gelugor pula amat sinonim dengan masakan tradisional Melayu kerana memberikan rasa masam semula jadi yang tersendiri, khususnya dalam hidangan seperti asam pedas dan masakan berkuah. Buah kundang pula dikenali dengan warna kuning keemasan, aroma yang harum, dan isi yang berjus. Selain itu, buah-buahan seperti kuini, binjai, dan bacang mempunyai rasa yang kuat dan unik, menjadikannya sebahagian daripada identiti makanan tradisional masyarakat tempatan.
Walaupun mempunyai potensi besar dari sudut makanan, kesehatan, nilai budaya, dan ekonomi tempatan, buah-buahan nadir masih kurang mendapat tempat dalam pasaran arus utama berbanding buah-buahan komersial. Keadaan ini menyebabkan pengetahuan masyarakat terhadap spesies tersebut semakin berkurang dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Nilai Warisan dan Kegunaan Etnobotani Tradisional.
Pokok nadir bukan sekadar menghasilkan buah untuk dimakan, malah merupakan sebahagian daripada warisan etnobotani masyarakat Malaysia. Dalam kehidupan masyarakat terdahulu, pelbagai bahagian tumbuhan seperti daun, pucuk, kulit kayu, batang, akar, dan buah telah dimanfaatkan untuk tujuan makanan, perubatan tradisional, bahan masakan, ulam-ulaman serta kegunaan harian.
Tumbuhan seperti mentajam, piai dan miding pernah menjadi sebahagian daripada hidangan masyarakat setempat. Ada antaranya digunakan sebagai ulam, sayuran hutan atau bahan dalam masakan tradisional. Pada masa yang sama, sesetengah tumbuhan nadir turut dikaitkan dengan amalan perubatan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.
Pengetahuan ini mencerminkan kearifan tempatan dalam mengenal, memanfaatkan, dan memelihara sumber alam. Justeru, kehilangan pokok langka bukan sahaja bermakna kehilangan spesies tumbuhan, tetapi juga kehilangan ilmu tradisional, amalan budaya, dan hubungan masyarakat dengan alam sekitar.
Ancaman Kepupusan dan Krisis Identiti Alam.
Hari ini, kewujudan pokok nadir semakin terancam. Kehilangan habitat asal akibat pembangunan, pembukaan kawasan baharu, perubahan guna tanah, dan kurangnya minat terhadap penanaman spesies tradisional telah menyebabkan sebahagian pokok nadir menjadi semakin sukar ditemui. Ada spesies yang hanya tinggal di kawasan terpencil, kebun lama, kampung tradisional, atau hutan tertentu.
Situasi ini amat membimbangkan kerana apabila generasi muda tidak lagi mengenali nama, rupa, rasa dan kegunaan pokok-pokok ini, negara berisiko kehilangan sebahagian daripada identiti alam dan warisan budaya. Pokok nadir bukan sekadar isu biodiversiti, tetapi juga berkait rapat dengan khazanah genetik, keselamatan makanan, pengetahuan tradisional dan sejarah kehidupan masyarakat.

Jika usaha pemuliharaan tidak diteruskan, tidak mustahil di masa depan sebahagian spesies ini hanya akan dikenali melalui catatan tertulis, gambar, atau koleksi penyelidikan, tanpa dapat dilihat dan dinikmati secara langsung oleh generasi mendatang.
Strategi Pemuliharaan: Menggalas Tanggungjawab Bersama.
Usaha menyelamatkan pokok nadir daripada terus dilupakan memerlukan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk institusi akademik, agensi kerajaan, sektor korporat, komuniti setempat, sekolah, dan masyarakat umum.
Salah satu inisiatif penting ialah penubuhan Taman Arboretum Pokok Nadir hasil kerjasama strategik antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Terletak di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) dalam Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, inisiatif ini dilaksanakan melalui peruntukan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM100,000 daripada PNB.
Projek ini bertujuan memelihara kepelbagaian flora tempatan, khususnya spesies pokok yang jarang, sebagai sumber rujukan, pendidikan, penyelidikan, dan kesedaran awam. Spesis yang ditanam termasuklah Tampoi, Keranji, Kandis, Kundang, Mentega dan lain lain lagi. Penubuhan arboretum ini juga membuka ruang kepada aktiviti pembelajaran lapangan, pengenalan spesies, dokumentasi tumbuhan, penyelidikan biodiversiti, dan pemindahan ilmu kepada pelajar, komuniti, dan pihak berkepentingan.

Program penanaman pokok Nadir Hutan pada 4 Mei 2024 merupakan kerjasama antara Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar , UPM, dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) di SISFEC, UPM

Program Pendidikan Pokok Nadir Hutan Bersama komuniti Persatuan Penduduk Fasa IV, Taman Sri Serdang (14 Februari 2026)
Aktiviti utama projek merangkumi penanaman spesies pokok nadir secara berstruktur, pemantauan pertumbuhan, penyediaan maklumat spesies, serta usaha memperkenalkan semula buah-buahan dan tumbuhan nadir kepada masyarakat. Dalam jangka panjang, usaha ini berpotensi menyokong pengkomersialan terpilih buah-buahan nadir, pembangunan produk berasaskan sumber tempatan, serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti.
Model kerjasama antara universiti dan sektor korporat seperti ini wajar diperluas. Ia bukan sahaja memberi impak kepada pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga menyumbang kepada pendidikan, penyelidikan, pembangunan komunitas, dan tanggung jawab sosial yang lebih bermakna.
Penutup
Pokok nadir ialah simbol jati diri, warisan alam dan kekayaan biodiversiti Malaysia yang tidak ternilai. Keunikan rasa buahnya, kegunaan tradisionalnya, nilai budaya yang dikandungnya serta peranannya dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem menjadikan spesies ini aset negara yang perlu dipelihara.
Memelihara pokok nadir bukan sekadar menanam semula pokok yang semakin jarang ditemui. Ia adalah usaha menghidupkan kembali ingatan masyarakat terhadap warisan alam yang pernah dekat dengan kehidupan harian. Melalui inisiatif seperti Taman Arboretum Pokok Nadir, pendidikan awam, penyelidikan dan kerjasama pelbagai pihak, khazanah hijau ini dapat terus dipertahankan.
Usaha yang dimulakan hari ini adalah jaminan agar generasi akan datang masih dapat melihat, mengenali, merasa dan menghargai pokok nadir sebagai sebahagian daripada warisan alam Malaysia, bukan sekadar membacanya dalam lipatan sejarah.
Rujukan
Kochummen, K. M. (1997). A guide to the forest trees of Peninsular Malaysia. Forest Research Institute Malaysia.
Lamb, A. (2019). Wild fruits of Malaysia. Natural History Publications (Borneo).
Mohd. Shukri Mat Ali, Mohd. Norfaizal Ghazalli, & Erny Sabrina Mohd. Noor. (2018). Buah-buahan liar dan nadir di Malaysia. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.
Rukayah Aman. (2006). Buah-buahan nadir Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Verheij, E. W. M., & Coronel, R. E. (Eds.). (1991). Plant resources of South-East Asia: No. 2. Edible fruits and nuts. PROSEA Foundation.