Rekreasi Inklusif Bagi Golongan Kurang Upaya (OKU)
Mohd. Aswad Ramlan, Zulkhairi Azizi Zainal Abidin , Airin Sofia Mohd Nizam, Muhammad Qayyim Naqiuddin Hassan Nordin, Darwish Aqil Mohd Rusli, Yvonne Mat
Pengenalan
Rekreasi inklusif bagi Orang Kurang Upaya (OKU) menyediakan peluang saksama untuk berekreasi, memperkasa potensi diri, dan menyokong kesihatan mental serta fizikal melalui kemudahan yang mesra OKU. Inisiatif ini, yang selaras dengan konsep Malaysia MADANI dan SDG, melibatkan penyediaan infrastruktur seperti taman permainan mesra kerusi roda dan aktiviti lasak yang disesuaikan, sekali gus memecah persepsi keupayaan.
Rekreasi Lasak sebagai medium terapi OKU
Rekreasi lasak merujuk kepada aktiviti luar yang mencabar dari segi fizikal dan mental seperti mendaki, berkayak, memanjat dinding, dan berbasikal lasak. Dalam konteks terapi, aktiviti ini bukan bertujuan mencari risiko, tetapi digunakan secara terancang, terkawal dan diubah suai untuk membantu proses pemulihan serta pembangunan potensi individu Orang Kurang Upaya (OKU). Pendekatan ini berasaskan konsep “experiential therapy” iaitu terapi berasaskan pengalaman, di mana pembelajaran, pemulihan dan perubahan tingkah laku berlaku melalui pengalaman sebenar yang mencabar tetapi selamat. Rekreasi lasak yang dijalankan secara terapeutik memberi kesan fizikal yang ketara kepada peserta OKU. Aktiviti seperti trekking, memanjat, berkayak atau berbasikal membantu meningkatkan kekuatan otot, keseimbangan badan dan koordinasi pergerakan. Kesan emosi juga jelas apabila peserta menunjukkan perubahan mood yang lebih positif. Aktiviti di luar dan di alam semula jadi membantu mengurangkan tekanan, memberi rasa seronok, puas dan tenang. Secara keseluruhannya, rekreasi lasak membantu perkembangan kendiri peserta OKU.
Proses Membangunkan Modul Rekreasi Terapi Lasak
Pembangunan modul rekreasi terapi lasak untuk komuniti OKU dilaksanakan secara sistematik bagi memastikan aktiviti yang dijalankan bersifat terapeutik, selamat dan inklusif. Proses ini bermula dengan penetapan objektif aktiviti yang jelas dan realistik. Secara khususnya, pembangunan modul rekreasi hendaklah menepati kategori OKU yang akan terlibat sebagai peserta program. Hal ini adalah mustahak kerana jenis kelainan upaya akan menentukan bentuk bimbingan yang perlu disampaikan kepada bakal peserta. Satu-satu aktiviti boleh ditawarkan kepada peserta dari satu jenis kelainan upaya sahaja, atau boleh juga ditawarkan kepada kumpulan peserta dengan pelbagai bentuk kelainan upaya.
Objektif juga perlu memenuhi aspek psikososial, fizikal dan emosi peserta. Objektif ini menjadi asas dalam pemilihan aktiviti rekreasi lasak yang berpadanan dengan keupayaan serta keperluan peserta OKU. Pemilihan aktiviti dilakukan melalui penilaian kesesuaian dan tahap risiko, dengan pengubahsuaian aktiviti dari segi peralatan, kaedah pelaksanaan dan tahap cabaran. Persediaan ini disokong oleh latihan dan simulasi fasilitator bagi memastikan kefahaman terhadap prosedur keselamatan, teknik bimbingan dan pengurusan peserta OKU. Sesi libat urus bersama peserta OKU dan penjaga turut dijalankan bagi menentukan profil peserta, termasuk tahap keupayaan fizikal dan kesediaan psikologi. Aspek keselamatan diberi penekanan melalui penyediaan prosedur operasi standard, pemeriksaan peralatan dan pelan pengurusan risiko bagi menjamin pelaksanaan aktiviti yang terkawal dan berkesan.
Penawaran aktiviti rekreasi lasak kepada OKU boleh dibuat dalam sama ada secara berskala pendek (aktiviti sekali cuba) ataupun dalam bentuk penganjuran program yang memakan masa lebih panjang. Pendekatan penganjuran program kebiasaannya memberi peluang penglibatan rekreasi yang lebih tinggi kepada OKU. Sungguhpun demikian, penganjuran berskala panjang ini mempunyai beberapa cabaran seperti kos yang besar, risiko keselamatan yang lebih tinggi, keperluan fasilitator yang lebih ramai, dan keperluan kesesuaian masa dengan tanggungjawab OKU. Persediaan dan perancangan teliti amat dititikberatkan dalam memastikan program yang bakal dilangsungkan boleh berjaya.
Proses Pelaksanaan Aktiviti
Sepanjang pelaksanaan aktiviti, beberapa kaedah utama digunakan bagi memastikan keberkesanan intervensi rekreasi terapeutik. Antaranya ialah pendekatan berstruktur dan berperingkat, di mana setiap aktiviti dirancang berdasarkan urutan tahap kesukaran yang jelas, bermula dengan aktiviti asas dan berintensiti rendah sebelum beralih kepada aktiviti yang lebih mencabar. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan peserta menyesuaikan diri dalam sesuatu aktiviti rekreasi. Selain itu, kaedah guided participation diaplikasikan secara konsisten. Fasilitator terlibat secara langsung.

Program Rekreasi Inklusif buat individu OKU di RiverBug, Gopeng, Perak dianjurkan oleh 36 pelajar Bachelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar,
Penilaian Keberkesanan Rekreasi Terapi Lasak
Keberkesanan modul rekreasi terapi lasak dinilai melalui pendekatan yang menyeluruh dengan menggabungkan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Menggunakan Skala Pengalaman Terapi Pengembaraan (ATES) (Russell & Gillis, 2017). Penilaian adalah penting bagi memastikan impak program dapat dilihat bukan sahaja dari sudut pencapaian fizikal, tetapi juga perkembangan psikologi, emosi dan sosial peserta. Kaedah kuantitatif boleh melibatkan penggunaan borang soal selidik, skala penilaian kendiri serta instrumen pengukuran standard yang menilai perubahan sebelum dan selepas penyertaan program. Manakala kaedah kualitatif pula merangkumi pemerhatian berstruktur dan temu bual ringkas bersama peserta OKU. Pemerhatian tingkah laku semasa aktiviti dijalankan menjadi salah satu komponen utama penilaian. Fasilitator menilai tahap penglibatan peserta, cara mereka berinteraksi dalam kumpulan, kemampuan mematuhi arahan serta reaksi mereka ketika berdepan cabaran fizikal dan mental. Refleksi peserta pula memberi gambaran dalaman tentang pengalaman mereka, termasuk perasaan, ketakutan yang berjaya diatasi, serta makna yang diperoleh daripada setiap aktiviti.
Kesimpulan
Rekreasi lasak berpotensi besar sebagai medium terapi alternatif yang inklusif untuk komuniti OKU apabila dilaksanakan secara terancang dan berfokus kepada keselamatan serta keperluan peserta. Pembangunan komuniti inklusif merupakan elemen penting bagi pembentukan negara yang berdaya tahan dan berdaya huni. Teras ini bertujuan memastikan komuniti sejahtera yang terus diperkasa bagi membentuk modal sosial yang mantap, kukuh dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kesejahteraan penduduk. Konsep ini boleh digunakan untuk komuniti OKU juga supaya mereka dapat merasai hak yang sama seperti orang biasa. Melalui pembangunan modul yang sistematik, pendekatan ini mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup OKU serta menyokong pembentukan masyarakat yang lebih inklusif.
Rujukan
Airin Sofia Mohd Nizam, Muhammad Qayyim Naqiuddin Hassan Nordin, Darwish Aqil Mohd Rusli, Yvonne Matheus Resen, Mohd. Aswad Ramlan, & Zulkhairi Azizi Zainal Abidin. (2026). Rekreasi inklusif bagi golongan kurang upaya (OKU). Kursus FHR3506 Rekreasi Terapeutik Bagi Golongan Istimewa dan FHR3301 Pengurusan Risiko Dalam Rekreasi.
American Psychological Association. (2020). Publication manual of the American Psychological Association (7th ed.). https://doi.org/10.1037/0000165-000
Mohd. Aswad Ramlan, & Zulkhairi Azizi Zainal Abidin. (2026). Modul rekreasi terapi lasak: Prosedur operasi standard dan pengurusan risiko [Nota Kuliah]. Kursus FHR3301 Pengurusan Risiko Dalam Rekreasi.
Russell, K., & Gillis, H. L. (Lee). (2017). The Adventure Therapy Experience Scale: The Psychometric Properties of a Scale to Measure the Unique Factors Moderating an Adventure Therapy Experience. Journal of Experiential Education, 40(2), 135-152.