ISSUE 4, 2025
Tanah Bencah: Barisan Pertahanan Senyap
Siti Shahirah Balqis Sohaimin
Pengenalan

Sambutan International Environment Day setiap tahun menjadi peringatan bahawa alam sekitar bukan sekadar pemandangan hijau yang menenangkan pandangan, tetapi merupakan suatu sistem sokongan hidup yang menentukan kesejahteraan manusia secara keseluruhannya. Dalam konteks perubahan iklim global, kehilangan habitat semula jadi dan peningkatan bencana alam, perbincangan tentang ekosistem yang terpinggir namun mempunyai fungsi yang kritikal menjadi semakin penting. Antara ekosistem tersebut ialah tanah bencah, iaitu kawasan yang berfungsi sebagai penapis air semula jadi, penyerap karbon, tapak biodiversiti unik dan benteng banjir yang tidak dapat digantikan. Di Malaysia, kepentingan tanah bencah semakin mendesak apabila banyak kawasan ini berhadapan tekanan pembangunan yang pesat.


Kajian mengenai Tanah Bencah Setiu di Terengganu membuktikan bahawa kawasan ini menyokong kepelbagaian biologi yang tinggi, merangkumi spesies terancam seperti penyu, burung air, ikan air payau serta pelbagai tumbuhan akuatik yang bergantung pada kestabilan hidrologi kawasan tersebut (Yusof & Yazid, 2019). Selain menjadi pusat biodiversiti, tanah bencah Setiu turut berperanan dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat melalui aktiviti perikanan tradisional, pengumpulan hasil hutan bukan kayu dan eko pelancongan berasaskan komuniti. Meskipun memberi manfaat besar, kawasan ini terus terdedah kepada ancaman pembangunan tidak terancang, pencemaran dan perubahan guna tanah.

Selain itu, Jobsts (2023) menekankan bagaimana pembangunan bercampur di kawasan pinggir bandar seperti Pekanbaru, Indonesia memberikan tekanan serius terhadap ekosistem semula jadi termasuk tanah bencah. Walaupun kajian tersebut tidak dijalankan di Malaysia, pola yang digambarkan sangat serupa dengan realiti tempatan kerana pertumbuhan bandar yang pesat, kelemahan perancangan guna tanah dan kehilangan kawasan hijau yang semakin ketara. Situasi ini menjadi amaran bahawa tanah bencah di Malaysia juga berisiko menghadapi kemerosotan sekiranya pengurusan mampan tidak dilaksanakan dengan segera.


Kepentingan dan Kerentanan Tanah Bencah

Pertama, tanah bencah merupakan ekosistem yang amat rapuh. Sedikit perubahan dalam kualiti air, paras air atau struktur tanah sudah cukup untuk mengganggu keseimbangan ekologi keseluruhan. Dalam konteks Setiu, banyak spesies akuatik dan tumbuhan air menunjukkan sensitiviti tinggi terhadap perubahan hidrologi dan pencemaran, menjadikan kawasan ini sangat mudah terjejas apabila berlaku perubahan persekitaran.

Kedua, pembangunan tidak terkawal merupakan ancaman terbesar kepada kelestarian tanah bencah. Dalam banyak kes, pembangunan yang memfokuskan keuntungan jangka pendek telah mengorbankan kawasan yang mempunyai nilai ekosistem yang jauh lebih tinggi. Di Malaysia, kawasan seperti Sungai Pulai dan Kuala Selangor merupakan contoh jelas bagaimana pertanian intensif, penambakan dan pembangunan komersial menyebabkan penyusutan dan kerosakan habitat tanah bencah yang penting.

Ketiga, kajian menunjukkan bahawa komuniti setempat merupakan ejen pemuliharaan yang paling berkesan. Dalam kes Setiu, penglibatan komuniti nelayan, NGO tempatan dan ahli akademik telah membuktikan bahawa pendekatan berasaskan masyarakat mampu meningkatkan kesedaran, mengurangkan konflik manusia-alam dan meningkatkan kejayaan inisiatif pemuliharaan. Apabila masyarakat memahami nilai tanah bencah terhadap kehidupan harian mereka, mereka menjadi lebih aktif dalam mempertahankan kawasan tersebut.

Akhir sekali, tanah bencah merupakan benteng pertahanan semula jadi terhadap banjir dan perubahan iklim. Tanah bencah berfungsi menyerap lebihan air hujan, menyimpan air semasa musim kering dan mengurangkan kesan ombak di kawasan pesisir. Kehilangan tanah bencah bermakna kehilangan fungsi perlindungan ini, menyebabkan kejadian banjir besar menjadi lebih kerap dan teruk berdasarkan realiti yang kini semakin jelas berlaku di Malaysia.


Harapan Masa Hadapan

Pertama, kita mengharapkan dasar pemuliharaan tanah bencah yang lebih tegas, komprehensif dan berasaskan sains. Walaupun Malaysia memiliki beberapa tapak RAMSAR, masih banyak tanah bencah bernilai tinggi yang belum diberikan status perlindungan. Penguatkuasaan perlu diperkasakan, termasuk mekanisme kawal selia yang lebih ketat terhadap pembangunan di kawasan sensitif.

Kedua, pendekatan Integrated Wetland Management (IWM) perlu diperluas dan diperkasakan. Ini melibatkan pemantauan kualiti air secara berkala, pengurusan persekitaran bersepadu, perancangan zon penampan serta penglibatan komuniti dalam proses membuat keputusan.

Ketiga, Malaysia perlu mengutamakan perancangan guna tanah berasaskan ekologi bagi mengelakkan kesilapan yang berlaku di Pekanbaru (Jobsts, 2023). Nilai ekosistem jangka panjang mesti diutamakan berbanding pembangunan ekonomi jangka pendek.

Keempat, pelaburan dalam pemulihan ekologi perlu ditingkatkan, termasuk pemulihan hutan bakau, pembersihan sungai dan pemulihan habitat spesies akuatik yang terancam.




Akhir sekali, peningkatan pendidikan alam sekitar di sekolah, universiti dan komuniti sangat diperlukan supaya generasi muda memahami bahawa tanah bencah bukan kawasan terbiar, tetapi nadi ekologi yang menyokong kehidupan manusia.


Kesimpulan

Pemuliharaan tanah bencah bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak demi kelestarian biodiversiti, keselamatan masyarakat dan kestabilan iklim negara. Melalui kajian Setiu dan amaran pembangunan pesat di Pekanbaru, jelas bahawa kehilangan tanah bencah membawa implikasi besar dan sukar dipulihkan. Justeru, Malaysia perlu menggerakkan dasar yang lebih tegas, pengurusan berasaskan sains dan penglibatan komuniti bagi memastikan ekosistem tanah bencah terus dipelihara untuk generasi yang akan datang.


Rujukan

Choy, E. A., et al. (2015). Kesedaran awam terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi: Kes Taman Wetland, Putrajaya (Public awareness of the preservation and conservation of the natural environment: The case of Taman Wetland, Putrajaya). Geografia, 11(8).

Ismail Parlan, Mohd, I., & Tariq Mubarak Husin. (2021, January 1). AN OVERVIEW OF WETLANDS IN MALAYSIA. https://www.researchgate.net/publication/369976309_AN_OVERVIEW_OF_WETLANDS_IN_MALAYSIA

Mitsch, W. J., Bernal, B., & Hernandez, M. E. (2015). Ecosystem services of wetlands. International Journal of Biodiversity Science Ecosystems Services & Management, 11(1), 1–4. https://doi.org/10.1080/21513732.2015.1006250

National Wetland Policies Ramsar Handbooks 4 th edition Handbook 2. (2010). https://www.ramsar.org/sites/default/files/documents/library/hbk4-02.pdf

Pingking, A., & Hussin, R. (2023). Cabaran Pemuliharaan Hutan Melalui Pendekatan Penglibatan Komuniti dan Pihak Berkepentingan di Malaysia dan Indonesia: Tinjauan Literatur. Journal of Borneo Social Transformation Studies, 9(1), 1-17.

Talib, N. A., & Pahri, S. R. (2025). Perkhidmatan Ekosistem Tanah Lembap di Paya Indah Wetlands, Selangor. Jurnal e-Bangi/e-Bangi, 22(1). https://doi.org/10.17576/ebangi.2025.2201.38