ISSUE 4, 2025
Membina Budaya Lestari: Apa yang Kita Pelajari, Apa yang Kita Harapkan?
Nurul Aniza Azmi
Pengenalan

Sambutan Hari Alam Sekitar Antarabangsa mengingatkan kita bahawa usaha menjaga bumi bukan hanya bergantung kepada dasar kerajaan atau kecanggihan teknologi, tetapi sejauh mana masyarakat berjaya membina budaya lestari dalam kehidupan seharian. Fokus terhadap Sustainable Development & Society menekankan bahawa kelestarian bukan sekadar slogan, tetapi satu proses pembinaan sosial yang melibatkan nilai, sikap, tingkah laku dan sistem sokongan. Berdasarkan pembacaan daripada Rahmania (2024), semakin jelas bahawa sekolah dan institusi pendidikan adalah platform paling berpengaruh dalam membentuk budaya ini. Di sinilah minda muda diasuh, nilai dibentuk dan identiti lestari dipupuk.


Apa yang Kita Pelajari daripada Kajian dan Realiti Semasa?

Pertama, kita belajar bahawa tingkah laku lestari bukan terbentuk secara automatik. Ia terhasil melalui gabungan faktor psikologi dan sosial seperti nilai, norma sosial, sikap, motivasi serta rasa keterhubungan dengan alam (Rahmania, 2024). Kajian tersebut menunjukkan bahawa murid yang berada dalam persekitaran sekolah yang menyokong kelestarian melalui dasar hijau, penyediaan kemudahan kitar semula, ruang hijau, aktiviti luar bilik darjah serta penglibatan dalam program alam sekitar lebih berpotensi mempraktikkan tingkah laku pro-alam seperti pengurusan sisa berhemah, penjimatan tenaga dan penjagaan kebersihan. Ini menunjukkan bahawa pendidikan bukan sahaja memindahkan ilmu, tetapi mencipta persekitaran yang mempengaruhi tingkah laku harian.

Selain itu, Rahmania (2024) menekankan konsep nature relatedness, iaitu sejauh mana seseorang merasa rapat, terhubung dan bertanggungjawab terhadap alam. Individu yang mempunyai hubungan emosional yang kuat dengan alam diketahui lebih prihatin terhadap isu alam sekitar dan lebih cenderung bertindak secara lestari. Sekolah yang menyediakan peluang pembelajaran melalui interaksi langsung seperti kebun sekolah, program pertanian bandar, aktiviti eksplorasi biodiversiti dan pembelajaran luar bilik darjah,membantu membentuk hubungan ini secara semula jadi. Ini membuktikan bahawa pembangunan budaya lestari memerlukan pendekatan pedagogi yang lebih pengalaman (experiential), bukan sekadar teori dalam buku teks.

Daripada sudut global dan lebih holistik, pembangunan lestari merangkumi dimensi People, Planet, Prosperity, Peace dan Partnership. Institusi pendidikan berperanan penting menghubungkan kelima-lima dimensi ini melalui kurikulum, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum serta kerjasama dengan komuniti dan NGO. Pendidikan tidak lagi dilihat sebagai alat mendapatkan pekerjaan semata-mata, tetapi sebagai platform membangunkan masyarakat yang seimbang dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar (Super User, 2025).

Selain itu, kita juga belajar daripada data bahawa usaha kelestarian memerlukan komitmen jangka panjang. Contohnya, Environmental Quality Index (EQI) Indonesia menunjukkan turun naik antara 2015 hingga 2019 tetapi meningkat secara konsisten selepas 2020 (Rahmania, 2024). Fenomena ini membuktikan bahawa perubahan positif tidak berlaku secara mendadak, tetapi memerlukan kesinambungan dasar, sokongan pendidikan, kesedaran masyarakat dan pembudayaan yang konsisten.



Apa yang Kita Harapkan untuk Masa Depan?

Pertama, kita berharap sekolah dan universiti menjadi role model komuniti lestari. Institusi pendidikan mesti mengamalkan apa yang mereka ajarkan. Pengurangan plastik, penggunaan tenaga boleh baharu, pengumpulan air hujan, sistem kitar semula yang berfungsi, kebun komuniti, kampus rendah karbon dan inisiatif hijau lain perlu menjadi amalan harian, bukan sekadar program mingguan. Kajian Rahmania (2024) menunjukkan bahawa persekitaran fizikal dan sosial sekolah memainkan peranan besar dalam membentuk tingkah laku murid. Maka, pembudayaan kelestarian perlu bermula dengan kepimpinan institusi.

Kedua, kita mengharapkan kurikulum masa depan lebih berorientasikan pengalaman dan kolaborasi. Pembinaan masyarakat lestari memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Maka, pelajar perlu didedahkan kepada projek komuniti, kerja lapangan, audit sisa sekolah, kolaborasi dengan NGO atau latihan industri dalam bidang alam sekitar. Pengalaman sedemikian memupuk rasa tanggungjawab, pemilikan dan empati, sekali gus mengubah kelestarian kepada identiti diri, bukan sekadar tugasan akademik.




Ketiga, kita berharap masyarakat sedar bahawa kelestarian ialah tanggungjawab bersama. Sekolah mungkin menjadi pencetus, tetapi tanpa sokongan daripada ibu bapa, komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta, nilai kelestarian sukar berkembang. Murid mungkin belajar mengasingkan sisa di sekolah, tetapi jika masyarakat di sekeliling tidak melakukannya, pengetahuan itu tidak akan diamalkan secara konsisten. Akhir sekali, kita berharap sambutan Hari Alam Sekitar Antarabangsa menjadi detik refleksi tahunan bagi institusi menilai kekuatan, kelemahan dan peluang baharu dalam usaha kelestarian. Ia harus menjadi pemangkin perubahan dan pengukuh budaya, bukan sekadar acara simbolik.


Kesimpulan

Hari Alam Sekitar Antarabangsa mengajar kita bahawa pembinaan budaya lestari tidak hanya bergantung kepada dasar, tetapi secara kritikalnya bergantung kepada pendidikan, persekitaran sosial, dan sokongan komuniti. Kajian Rahmania (2024) menegaskan bahawa faktor psikologi dan pengalaman pendidikan memainkan peranan besar dalam membentuk tingkah laku pro-alam. Justeru, pendekatan holistik dan kolaboratif, yang melibatkan semua pemegang taruh dari individu hingga institusi, adalah kunci untuk memastikan kelestarian menjadi cara berfikir, cara hidup dan identiti masyarakat. Masa depan kelestarian bergantung pada keupayaan kita untuk menyatukan ilmu, emosi, dan tindakan.


Rujukan

Ashida, A. (2022). The role of higher education in achieving the sustainable development goals. In Sustainable development goals series (pp. 71–84). https://doi.org/10.1007/978-981-19-4859-6_5

Bernama. (2023, June 13). Sasar 50 peratus institusi pendidikan di Pahang diiktiraf “hijau.” Astro Awani; Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sasar-50-peratus-institusi-pendidikan-di-pahang-diiktiraf-hijau-423768

Rahmania, T. (2024). Exploring school environmental psychology in children and adolescents: The influence of environmental and psychosocial factors on sustainable behavior in Indonesia. Heliyon, 10(18), e37881. https://doi.org/10.1016/j.heliyon.2024.e37881

‌Super User. (2025). Sustainability UTeM - Kelestarian Pendidikan - Keunggulan Akademik. Utem.edu.my.https://sustainability.utem.edu.my/ms/kelestarian-pendidikan-keunggulan akademik.html

‌Noor, A. R. M. (2015, September 2). Guru, ibu bapa boleh jayakan sistem pengasingan sisa pepejal. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2015/09/78929/guru-ibu-bapa-boleh-jayakan-sistem-pengasingan-sisa-pepejal