Teknologi Hijau: Apa Yang Kita Pelajari Dan Apa Yang Kita Jangka Untuk Masa Depan
Pengenalan
Sambutan International Environment Day (IED) setiap tahun menegaskan satu hakikat penting bahawa dunia kini berada di persimpangan antara keperluan pembangunan dan tuntutan perlindungan alam sekitar. Krisis iklim, gelombang haba ekstrem, pencemaran udara bandar, serta siri banjir besar di rantau Asia Tenggara menunjukkan bahawa model pembangunan tradisional tidak lagi mampan (Kosmo, 2023). Negara membangun seperti Malaysia menghadapi dilemma sama ada untuk membangunkan ekonomi bagi kesejahteraan sosial, ataupun pada masa sama perlu mengurangkan jejak karbon dan mempertahankan kualiti alam sekitar (UNEP, 2024). Dalam konteks ini, teknologi hijau muncul sebagai harapan baharu, menjadi pemangkin transformasi ke arah pembangunan rendah karbon.
Trend Teknologi Hijau Global Dan Malaysia: Kemajuan & Arah Masa Depan
Perkembangan teknologi hijau global kini didorong oleh agenda peralihan tenaga, kelestarian bandar dan ekonomi karbon rendah. China, sebagai peneraju dunia bagi pengeluaran terbesar panel solar dan bateri litium serta memimpin pasaran kenderaan elektrik global (IRENA, 2023). Negara tersebut menjadi peranan besar bagi membangunkan teknologi hijau. Singapura pula melabur secara agresif dalam floating solar farms, grid pintar dan teknologi kecekapan tenaga bandar (EMA Singapore, 2024). Trend ini menunjukkan bahawa inovasi hijau bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik.

Malaysia turut bergerak ke arah sama melalui peluasan tenaga boleh baharu. Pelaksanaan Large-Scale Solar (LSS) dan inisiatif solar bumbung menunjukkan peningkatan kapasiti tenaga bersih (MyRER, 2021). Kerajaan memperkenalkan National Energy Transition Roadmap (NETR) yang menekankan hidrogen hijau, mobiliti elektrik, penyimpanan tenaga, dan grid pintar sebagai teras masa depan sistem tenaga negara (KeTSA, 2023). Dalam sektor pengurusan hutan pula, penggunaan penderiaan jauh, satelit dan kecerdasan buatan mula membantu pemantauan pembalakan haram secara masa nyata (FAO, 2023).
Namun, pelaksanaan teknologi sahaja tidak menjamin keberhasilan. Peralihan tenaga memerlukan perubahan struktur ekonomi, pembiayaan, peraturan dan tingkah laku masyarakat.
Apa Yang Kita Pelajari Daripada Masa Lalu
Walaupun teknologi semakin canggih, banyak negara termasuk Malaysia mengulangi kesilapan masa lalu. Pertama, teknologi tanpa perubahan budaya pengguna tidak menghasilkan impak ketara. Kempen jimat tenaga, pengurangan plastik dan program kitar semula masih menunjukkan tahap penyertaan rendah dalam kalangan masyarakat (SEDA, 2022). Kedua, Malaysia kekal bergantung tinggi kepada bahan api fosil, terutama gas asli dan arang batu. Pada 2023, lebih 70% tenaga elektrik masih berpunca daripada sumber fosil (KeTSA, 2023).
Ketiga, kewujudan fenomena greenwashing semakin ketara dalam sektor korporat. Banyak syarikat mendakwa mesra alam melalui pelabelan atau laporan ESG yang tidak disahkan secara bebas (UNEP, 2023). Kesimpulan ini menunjukkan bahawa teknologi hijau bukan penyelesaian automatik; ia memerlukan integriti tadbir urus dan perubahan sistemik.
Peranan Pertubuhan Antarabangsa Dalam Mempercepat Peralihan Hijau
United Nations Environment Programme (UNEP), International Renewable Energy Agency (IRENA) dan World Bank memainkan peranan penting dalam menyediakan garis panduan, pembiayaan dan laporan kemajuan global. UNEP menekankan bahawa dunia mesti mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 42% menjelang 2030 untuk mengekang pemanasan global di bawah 1.5°C (UNEP Emissions Gap Report, 2023). Dalam konteks Asia Tenggara, kerjasama antara negara semakin kritikal kerana cabaran iklim dari jerebu rentas sempadan hingga kenaikan paras laut memerlukan tindakan bersama.Penglibatan Malaysia dalam platform seperti ASEAN Centre for Energy (ACE) dan Asian Development Bank (ADB) membolehkan pemindahan teknologi serta pembiayaan tenaga bersih berskala besar.

Harapan Masa Depan: Green Jobs, Tenaga Boleh Baharu & Gaya Hidup Rendah Karbon
Peralihan tenaga global dijangka membuka lebih 14 juta pekerjaan hijau menjelang 2030 (IRENA, 2023). Malaysia berpotensi besar dalam sektor solar, perkhidmatan kecekapan tenaga, penyimpanan tenaga dan pengurusan sisa. Gaya hidup rendah karbon seperti penggunaan pengangkutan awam, EV, pengurangan sisa makanan dan pengurusan tenaga rumah pintar semakin realistik dengan sokongan teknologi.China telah menunjukkan bagaimana insentif kerajaan boleh mempercepatkan penggunaan EV dan solar, manakala Singapura membuktikan bahawa negara kecil juga mampu memimpin melalui dasar jelas, grid pintar dan penggunaan ruang bandar secara optimum. Malaysia boleh mempelajari strategi ini terutamanya dari segi pelaksanaan dasar dan pemerkasaan sektor swasta.

Kesimpulan
Teknologi hijau memberi harapan baharu untuk masa depan yang lebih selamat, bersih dan mampan. Namun, pelajaran daripada masa lalu menunjukkan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi. Tanpa perubahan sikap masyarakat, tadbir urus yang telus dan dasar yang konsisten, inovasi hijau hanya menjadi kosmetik yang menutup struktur pembangunan lama. Sambutan International Environment Day mengingatkan kita bahawa masa depan planet bergantung pada keberanian kolektif untuk berubah bukan sekadar melalui teknologi, tetapi melalui komitmen bersama antara kerajaan, komuniti, pertubuhan antarabangsa dan setiap individu.
Rujukan
ASEAN CENTRE FOR ENERGY. (2024, October 1). Huawei Digital Power and ASEAN Centre for Energy (ACE) jointly launches new Safety Standards Policy Brief and ASEAN Energy Data Centre at the 24th ASEAN Energy Business Forum (AEBF-24) - ASEAN Centre for Energy. ASEAN Centre for Energy. https://share.google/s0LlSdbrIprjZrKJO
Asyraf, H. (2023, August 3). Kereta Elektrik di Malaysia Ada Banyak Kos Tersembunyi, Betul Ke? Carsome Malaysia. https://www.carsome.my/news/item/kos-sebenar-kereta-elektrik-malaysia
Hemingway Jaynes, C. (2025). China sets wind and solar installation records for second year in a row. www.google.com. Retrieved November 29, 2025, from https://share.google/images/G5L9ml2d0lmqgaPlo
IRENA – International Renewable Energy Agency. (2025, November 27). https://www.irena.org/
Kosmo. (2023, May 14). Impak berganda gelombang haba, pencemaran udara ancam Asia Tenggara. Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2023/05/15/impak-berganda-gelombang-haba-pencemaran-udara-ancam-asia-tenggara/
MYRER – Renewable Energy Malaysia. (n.d.). https://www.seda.gov.my/reportal/myrer/
Shahril, M. (n.d.). National Energy Transition Roadmap (NETR): Charting a Path to a Sustainable Energy Landscape - MIDA | Malaysian Investment Development Authority. MIDA | Malaysian Investment Development Authority. https://www.mida.gov.my/national-energy-transition-roadmap-netr-charting-a-path-to-a-sustainable-energy-landscape/
UNEP. (2024). Renewable energy. Retrieved November 29, 2025, from https://www.unep.org/topics/energy/renewable-energy/renewable-energy