ISSUE 4, 2025
Penebangan dan Pemulihan Hutan di Sarawak - Pemulihan Semula Hutan oleh Komuniti Penan
Nurin Emanina Kamal
Pengenalan

Hari Alam Sekitar Antarabangsa berfungsi sebagai platform global untuk menilai pendekatan manusia terhadap alam dan ekosistem. Dalam konteks Malaysia, hutan memainkan peranan kritikal dalam kestabilan iklim, penyimpanan karbon, penyediaan habitat biodiversiti, serta menyokong kesejahteraan sosial-ekonomi masyarakat setempat. Namun, perkembangan semasa menunjukkan berlakunya tekanan antropogenik yang semakin meningkat terhadap sumber hutan. Tulisan ini membincangkan pelajaran penting yang diperoleh daripada trend deforestasi terkini serta harapan terhadap pengurusan hutan yang lebih mampan pada masa hadapan.

Hutan berfungsi sebagai sistem penyimpanan karbon dan penstabil iklim yang paling murah tetapi paling dipandang remeh. Kajian menunjukkan bahawa hutan tropika Malaysia menyimpan sehingga 247 tan karbon sehektar yang menjadikannya “carbon sink” utama dalam rantai keselamatan iklim. Namun, peningkatan kadar kehilangan hutan primer di Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa kehilangan hutan mengakibatkan gangguan kepada fungsi ekologi yang meyumbang secara langsung kepada mitigasi perubahan iklim global. Asia Tenggara merupakan antara kawasan yang mencatat kadar kehilangan hutan tertinggi di dunia. Malaysia sendiri kehilangan lebih 100,000 hektar hutan primer antara 2010 hingga 2020. Kesannya bukan sahaja kepada flora dan fauna endemik, tetapi juga kestabilan ekosistem seperti kitaran air, keseimbangan tanah, dan rantaian makanan.


Pemulihan hutan

Pelajaran yang jelas dipelajari biodiversiti tidak dapat dipulihkan dengan mudah setelah habitat hilang, dan kerugian ekologi selalunya bersifat kekal. Pengalaman komuniti peribumi Penan dan Iban menunjukkan bahawa pengetahuan tradisi memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan ekosistem hutan. Keupayaan mereka mengenal pasti pokok bernilai konservasi, laluan hidupan liar, dan tapak air bawah tanah menunjukkan bahawa pengurusan hutan tidak boleh hanya bergantung kepada polisi kerajaan. Pelajaran utamanya ialah konservasi lebih berkesan apabila komuniti tempatan diberi mandat dalam proses membuat keputusan. Sebagai contoh, Kapit yang merupakan kawasan telah merekodkan aktiviti pembalakan berskala besar serta pembukaan tanah bagi ladang monokultur sejak awal 2000-an. Laporan akademik menyatakan bahawa kekeruhan air sungai meningkat sehingga 200% selepas intensiti pembalakan, menjejaskan sumber air komuniti dan habitat akuatik. Selain itu, kehilangan pokok kanopi telah mengurangkan populasi hidupan liar seperti kijang, beruang matahari dan hornbill.

Namun sejak 2018, muncul gerakan pemulihan hutan yang diterajui komuniti Penan melalui penubuhan “Penan Peace Park”. Inisiatif ini menumpukan kepada penanaman spesies asli seperti meranti, belian dan keruing. Pendekatan berbasis komuniti ini telah menarik perhatian WWF-Malaysia dan beberapa penyelidik yang mendapati bahawa kawasan pemulihan komuniti mempunyai kadar kelangsungan tumbuhan lebih tinggi berbanding pemulihan yang bersifat komersial. Ini menegaskan bahawa restorasi ekologi memerlukan pendekatan multidisiplin yang menggabungkan saintis, komuniti tempatan dan penggubal dasar.

Restorasi Landskap Hutan (FLR) Sarawak telah meningkat ke tahap lebih tinggi sejak usaha-usaha pelaksanaannya dipercepatkan
Penglibatan komuniti

Dengan wujudnya dasar seperti National Policy on Biological Diversity 2022–2030, masyarakat berharap setiap strategi pemuliharaan dapat dilaksanakan melalui penggunaan data geospatial, pemantauan satelit dan audit biodiversiti yang sistematik bagi memastikan kehilangan hutan dapat dikesan dan dikawal lebih awal. Selain itu, usaha pemulihan hutan seharusnya ditumpukan kepada penanaman spesies asli yang dapat membentuk semula struktur ekosistem secara semula jadi, bukannya sekadar memenuhi sasaran jumlah pokok. Pendekatan ini penting kerana hutan yang dipulihkan melalui spesies asli lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan memberi manfaat jangka panjang kepada hidupan liar serta masyarakat setempat.

Dalam masa yang sama, penglibatan komuniti dalam konservasi hutan juga menjadi harapan besar bagi memastikan kelestarian jangka panjang. Model pengurusan bersama atau co-management antara komuniti, agensi kerajaan dan organisasi konservasi telah terbukti berkesan di beberapa kawasan seperti Royal Belum dan Mulu. Melalui penyertaan aktif ini, pengetahuan ekologi tradisional dapat digabungkan dengan penyelidikan saintifik, seterusnya menghasilkan pengurusan hutan yang lebih holistik. Selain itu, ekopelancongan berasaskan komuniti dilihat mampu menyediakan sumber pendapatan alternatif yang memberi insentif untuk menjaga hutan secara berterusan.

Rampasan Balak Haram di Sungai Kapit - Facebook Polis Diraja Malaysia
Ancaman perubahan iklim

Di tengah-tengah ancaman perubahan iklim global, hutan harus diberi penekanan bukan sahaja sebagai alat mitigasi, tetapi juga sebagai komponen penting dalam strategi adaptasi. Harapan masa hadapan ialah pembentukan zon penampan sungai, perlindungan kawasan tanah tinggi, dan pemulihan hutan paya bagi mengurangkan risiko banjir, hakisan dan kepupusan spesies. Melihat kepada semua cabaran ini, amat penting untuk Malaysia meningkatkan ketelusan tadbir urus, memperkukuh penyertaan awam dan membina sistem konservasi yang benar-benar berfungsi untuk ekologi, masyarakat dan ekonomi negara. Harapan tersebut menggambarkan keinginan kolektif untuk memastikan hutan Malaysia terus menjadi asas ketahanan ekosistem pada masa hadapan.


Kesimpulan

Analisis terhadap peranan hutan dan cabaran semasa jelas menunjukkan bahawa kelestarian hutan Malaysia bergantung kepada integrasi antara sains, dasar awam, dan penglibatan masyarakat. Trend deforestasi di Sarawak dan kawasan lain di Malaysia membuktikan bahawa kehilangan hutan bukan sahaja isu ekologi, tetapi juga isu pembangunan, tadbir urus, dan keadilan sosial. Pelajaran penting daripada keadaan ini ialah keperluan untuk memperkukuh sistem pemantauan berasaskan data, mengutamakan pemulihan ekosistem menggunakan spesies asli, serta mengiktiraf kepakaran komuniti tempatan sebagai sebahagian daripada rangka kerja konservasi.


Rujukan

Alamgir, M., Campbell, M. J., Sloan, S., Engert, J., Word, J., & Laurance, W. F.
(2020). Emerging challenges for sustainable development and forest conservation in Sarawak, Borneo. PLoS ONE, 15(3), e0229614. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0229614

Bernama. (2024, June 6). FDS usaha percepatkan Inisiatif Pemulihan Langskap
Hutan di Sarawak. TVS. https://www.tvsarawak.my/2024/06/06/fds-usaha-percepatkan-inisiatif-pemulihan-langskap-hutan-di-sarawak/

BERNAMA. (2024, October 6). FDS Usaha percepatkan inisiatif pemulihan
Landskap Hutan di Sarawak. https://bernama.com/bm/news.php?id=2305140

Chávez, L. T. (2025). Facing the Bulldozers. In Human Rights Watch.
https://www.hrw.org/report/2025/05/04/facing-the-bulldozers/iban-indigenous-resistance-to-the-timber-industry-in

Keadilan, S. (2025, November 13). Seimbangkan pemuliharaan hutan Sarawak
dengan kesejahteraan rakyat. Suara Keadilan. https://www.suarakeadilan.my/post/seimbangkan-pemuliharaan-hutan-sarawak-dengan-kesejahteraan-rakyat

Utusan Borneo Online. (2024, August 11). Sarawak tanam 35 juta pokok,
tertinggi berbanding negeri lain. https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/11/sarawak-tanam-35-juta-pokok-tertinggi-berbanding-negeri-lain

Vizzuality. (n.d.). KAPIT, Malaysia, Sarawak Deforestation Rates & Statistics |
GFW.https://www.globalforestwatch.org/dashboards/country/MYS/14/10/?map=eyJjYW5Cb3VuZCI6dHJ1ZX0%3D