ISSUE 4, 2025
Mengurus atau Mengabaikan? Krisis Alam Semakin Dekat, Kita Masih Perlahan
Muhammad Azim Marzian
Pengenalan

Dalam menghadapi krisis ekologi hari ini, kita perlu bertanya dengan jujur: adakah kita benar-benar mengurus alam sekitar, atau hanya menangguhkan kerosakannya? Ketika hutan ditebang, sungai tercemar, dan hidupan liar kehilangan habitat, sains telah lama memberi amaran tetapi tindakan kita masih perlahan. Reaction paper ini memberi respons kritikal terhadap isu hutan, air dan hidupan liar yang membentuk asas keseimbangan ekologi Malaysia dan rantau ini.

Hutan ialah "paru-paru" bumi, penyimpan karbon dan benteng terhadap perubahan iklim. Namun, realitinya kita masih memperlakukan hutan sebagai sumber ekonomi sebelum fungsinya sebagai penstabil iklim. Walaupun kajian menunjukkan hutan tropika menyimpan karbon paling tinggi, aktiviti pembalakan, penukaran tanah untuk pertanian, dan projek pembangunan masih menjadi punca utama kehilangan hutan (Chong et al., 2021).
Tren deforestasi Asia Tenggara memberi amaran keras: kita bergerak terlalu cepat ke arah keruntuhan ekologi. Pelaksanaan Pengurusan Hutan Lestari (SFM) pula dilihat masih longgar. Pensijilan wujud, tetapi jika pemantauan tidak telus, ia berisiko menjadi slogan memuaskan hati.


Komuniti tempatan sebagai penjaga

Saya melihat komuniti tempatan sebagai penjaga paling berkesan. Mereka memahami ekosistem melalui pengalaman berdekad, bukan hanya data. Dalam ekopelancongan, misalnya, kawasan yang diurus komuniti merekodkan kadar degradasi lebih rendah berbanding kawasan yang dikendalikan pihak luar. Namun malangnya, suara mereka sering menjadi sampingan, bukan penentu. Mangrove pula memberi gambaran paradoks. Ekosistem ini paling tahan, paling produktif, tetapi paling mudah ditebus guna. Dengan perubahan iklim dan kenaikan paras laut, mangrove sepatutnya dipertahankan, bukan diganti. Jika kita gagal melindunginya sekarang, kita akan menanggung kos pemulihan yang berkali-kali ganda.

Hutan dan sungai
Krisis air

Walaupun Malaysia menerima hujan yang banyak, krisis air tetap berlaku dan jelas menunjukkan isu bukan kekurangan air, tetapi cara kita mengurusnya. Sungai menjadi tempat pembuangan sisa industri dan pertanian, manakala kawasan tadahan air diganggu pembangunan. Pensijilan IRBM (Integrated River Basin Management) sering disebut, tetapi pelaksanaannya tidak menyeluruh.
Seterusnya, krisis air turut memperlihatkan betapa rapuhnya hubungan kita dengan alam. Pencemaran sungai, kekeringan bermusim, dan banjir kilat bukan sekadar fenomena alam, tetapi hasil keputusan guna tanah yang tidak berhati-hati (FAO, 2020). Wetlands yang sepatutnya menjadi benteng banjir pula ditimbus dan ditukar kepada pembangunan, menyebabkan bandar terdedah kepada risiko bencana yang lebih besar.


Perubahan iklim dan hidupan liar

Perubahan iklim semakin mengubah pola hujan, dan sistem bekalan air kita tidak bersedia untuk anjakan radikal ini. Pengurusan air memerlukan ketelusan, kawal selia yang tegas, dan penggunaan yang lebih bertanggungjawab. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada penyelesaian lama untuk masalah baharu.
Seterusnya, kehidupan liar memberi gambaran jelas tentang kesihatan ekosistem. Tetapi hari ini, haiwan liar semakin tersepit oleh kehilangan habitat, fragmentasi hutan, dan aktiviti manusia. Koridor hidupan liar penting untuk pergerakan spesies, tetapi pembinaan jalan raya dan pembangunan sering memutuskan sambungan kawasan perlindungan (Saifuddin et al., 2016).

Konflik manusia–hidupan liar yang semakin meningkat pula bukan salah haiwan tetapi ia berpunca daripada pencerobohan manusia ke habitat mereka. Setiap kes gajah memasuki kampung, harimau dilihat di ladang, atau tapir dilanggar jalan raya memberi kita pelajaran bahawa habitat mereka semakin mengecil.
Penguatkuasaan undang-undang hidupan liar masih tidak setegas ancaman yang dihadapi. Perdagangan haram bahagian haiwan seperti beruang, harimau dan burung dilaporkan berterusan sejak puluhan tahun (Shepherd & Nijman, 2008). Tanpa hukuman lebih berat dan pemantauan lebih ketat, spesies terancam mungkin hilang dalam masa satu generasi.

Kawasan perlindungan memainkan peranan penting, tetapi banyak kawasan masih "terperangkap" tanpa sambungan ekologi. Jika perlindungan hanya di atas peta dan bukan dalam realiti landskap, ekosistem akan tetap merosot.
Pada akhirnya, setelah meneliti isu hutan, air, dan hidupan liar, saya semakin yakin bahawa negara kita sebenarnya tidak kekurangan pengetahuan, kepakaran atau bukti saintifik. Apa yang kita kurang ialah keberanian untuk membuat keputusan yang benar-benar tegas. Kita tahu hutan menyimpan karbon, tetapi kita masih membenarkan penggondolan. Kita tahu sungai semakin tercemar, tetapi kita sering memilih tindakan reaktif dan bukan pencegahan. Kita tahu hidupan liar memerlukan habitat yang bersambung, tetapi pembangunan masih diberi keutamaan.


Kesimpulan

Sains sudah lama memberi amaran, data sudah berkali-kali menunjukkan trend, dan masyarakat semakin memahami kepentingan ekologi. Namun, tanpa keberanian politik, integriti dalam pelaksanaan dasar, dan kesediaan kolektif untuk berubah, semua pengetahuan itu hanya akan kekal sebagai laporan, pelan tindakan dan slogan tanpa kesan. Jika kita benar-benar ingin mengelakkan kerosakan ekologi yang lebih parah, kita mesti beralih daripada sekadar mengetahui kepada benar-benar bertindak. Keberanian untuk melaksanakan keputusan yang mungkin tidak popular hari ini adalah satu-satunya jalan untuk memastikan generasi akan datang mewarisi alam sekitar yang lebih stabil, lebih sihat, dan lebih berdaya tahan daripada apa yang kita tinggalkan sekarang.



Rujukan

Bryan, J., Shearman, P., Asner, G., Knapp, D., & Aoro, G. (2013). Extreme differences in forest degradation in Borneo. PLoS ONE, 8(7), e69679. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0069679

Chong, K. L., Kanniah, K. D., & Wang, P. (2021). Monitoring deforestation in Malaysia using Landsat time series and Google Earth Engine. Science of Remote Sensing, 3, 100019. https://doi.org/10.1016/j.srs.2021.100019

FAO. (2020). Global Forest Resources Assessment: Malaysia Report. Food and Agriculture Organization. https://www.fao.org/documents/card/en/c/cb0031en/

Saifuddin, A., Abdullah, M. T., & Payne, J. (2016). Impacts of road construction on wildlife in Peninsular Malaysia. Malayan Nature Journal, 68(3–4), 110–130.

Shepherd, C. R., & Nijman, V. (2008). The trade in bear parts in Malaysia: A 17-year perspective. Oryx, 42(3), 381–382. https://doi.org/10.1017/S0030605308007437