“Forest Beyond Timber”: Lebih Daripada Sekadar Balak dan Pendapatan
Mohd. Shazril Bin Mohd. Rapigh
Pengenalan
Selama bertahun-tahun, hutan sering didefinisikan melalui nilai komersial kayu iaitu tebang, proses dan eksport. Naratif lapuk ini membentuk cara masyarakat memahami fungsi hutan. Namun hari ini, dalam realiti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti dan tekanan pembangunan, persoalan penting muncul adakah nilai hutan hanya terhad kepada balak dan pendapatan? Hakikatnya, hutan menawarkan lebih banyak manfaat ekologi dan sosio-ekonomi dan masa depan sektor ini memerlukan anjakan paradigma yang lebih luas dan progresif.
Malaysia ialah sebuah negara megabiodiversiti yang bergantung pada hutan untuk kestabilan alam sekitar. Hutan menyimpan karbon, melindungi kawasan tadahan air, menstabilkan tanah dan menjadi habitat ribuan spesies flora dan fauna. Menurut FAO (2020), hutan tropika menyimpan sekitar 250 gigatan karbon, menjadikannya komponen penting dalam mitigasi perubahan iklim global. Di peringkat nasional, sebahagian besar Hutan Simpanan Kekal turut berperanan sebagai kawasan tadahan air yang menyokong kehidupan jutaan rakyat (JPSM, 2023). Namun, manfaat-manfaat ini sering terpinggir dalam wacana dasar apabila kayu dijadikan indikator utama produktiviti hutan.
Perubahan Dasar Global
Kerangka dasar global kini bergerak ke arah yang lebih progresif. Melalui Perjanjian Paris dan mekanisme REDD+, hutan diiktiraf sebagai aset semula jadi (natural capital) yang menjana nilai melalui perkhidmatan ekosistem, bukan hanya komoditi kayu (UNFCCC, 2019). Di bawah Agenda 2030, Matlamat Pembangunan Mampan seperti SDG 15 (Life on Land) dan SDG 2 (Zero Hunger) jelas menghubungkan kelestarian hutan dengan keselamatan makanan. Malaysia turut menyelaraskan komitmen ini melalui Dasar Perhutanan Negara 2021 dan pensijilan pengurusan hutan mampan seperti MC&I (SFM), namun jurang pelaksanaan masih wujud kerana kekangan kuasa tanah di peringkat negeri, ketidakseragaman dasar dan kebergantungan terhadap hasil kayu (ITTO, 2022).
Tema “Hutan dan Makanan” sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 semakin mengukuhkan hujah bahawa hutan tidak harus dilihat secara sempit. Hutan merupakan penyumbang penting kepada keselamatan makanan melalui hasil hutan bukan kayu (NTFP) seperti herba, ulam-ulaman, buah-buahan hutan, rotan, buluh dan madu (FAO, 2020). Bagi komuniti Orang Asli dan masyarakat luar bandar, NTFP menjadi sumber rezeki, identiti budaya dan sebahagian daripada kedaulatan makanan mereka. Apabila hutan ditebang secara meluas, bukan sahaja biodiversiti terjejas, malah rantaian makanan tradisi turut terputus.

Kesimpulan
Akhir kata, masa depan hutan bukan soal “ambil atau simpan”, tetapi soal imbangan antara pembangunan dan kelestarian. Naratif “forest beyond timber” mengajak kita melihat rimba sebagai penyokong kehidupan iaitu pengawal iklim, gedung makanan, ruang budaya dan sumber ekonomi hijau. Jika anjakan minda ini berjaya diserap ke peringkat dasar dan masyarakat, Malaysia mampu menjadi peneraju rantau dalam pengurusan hutan mampan, membuktikan bahawa kemakmuran dan kelestarian bukanlah dua matlamat yang bertentangan, tetapi saling menguatkan.
Rujukan
Food and Agriculture Organization. (2020). Global forest resources assessment 2020. FAO. https://www.fao.org/forest-resources-assessment/2020/en/
Forestry Department Peninsular Malaysia. (2023). Forestry statistics Peninsular Malaysia 2023. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
https://www.forestry.gov.my/
International Tropical Timber Organization. (2022). Status of tropical forest management 2022. ITTO.
https://www.itto.int/
Ministry of Energy and Natural Resources. (2021). National forestry policy 2021. Government of Malaysia.
https://www.forestry.gov.my/en/about-us/national-forestry-policy
United Nations Framework Convention on Climate Change. (2019). Malaysia forest reference level submission to UNFCCC. UNFCCC. https://redd.unfccc.int/media/2018_frel_submission_malaysia.pdf
Food and Agriculture Organization. (2025). International Day of Forests 2025: Forests and food. FAO. https://www.fao.org/international-day-of-forests/en/