Potensi penghasilan sumber tenaga alternatif daripada keladi bunting di Kampung Gajah, Perak Tengah
Keladi bunting (Pontederia crassipes) merupakan sejenis tumbuhan akuatik terapung yang berasal daripada Amerika Selatan. Tumbuhan ini dipercayai di bawa ke serata dunia termasuk Malaysia sebagai tumbuhan hiasan kerana bunganya yang berwana putih atau ungu mempunyai nilai astetik yang tinggi terutamanya dalam kuantiti yang besar. Bagaimanapun, sifat tumbuhan ini yang mampu tumbuh dengan cepat melalui pembiakan vegetatif daripada induk telah mengakibatkan berlakunya perebakan yang tidak terkawal di kawasan berair seperti tasik, kolam, dan paya. Keladi bunting ini telah disenaraikan antara 100 teratas dalam Pangkalan Data Spesies Invasif Global oleh Kumpulan Pakar Spesies Invasif (ISSG) kerana kesan kemusnahan alam sekitar dan kerugian ekonomi ketara yang diakibatkan oleh perebakan tidak terkawal tumbuhan ini.
Turut terkesan dengan keadaan ini adalah komuniti yang bertempat di Kampung Gajah, Tanjung Tualang, Perak terutamanya nelayan ikan air tawar yang menjadikan tasik bekas lombong di sekitar kampung ini sebagai sumber makanan dan pendapatan mereka. Perebakan keladi bunting ini telah menjejaskan kualiti air tasik dan populasi hidupan akuatik dalam tasik, serta menyukarkan aktiviti penangkapan ikan. Buat masa sekarang, kaedah pembasmian keladi bunting yang dilakukan oleh komuniti ini adalah dengan cara meracun dan penuaian secara manual. Bagaimanapun, kedua-dua kaedah ini memerlukan kos yang tinggi dan tenaga buruh yang intensif. Oleh itu, cara terbaik untuk menanangi masalah ini adalah dengan meneroka potensi penghasilan produk bernilai tinggi dari sisa keladi bunting yang dituai seperti bahan api pepejal jenis briket (briquette) yang sesuai digunakan sebagai bahan api alternatif untuk memasak.
Ahli akademik dari Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar (JSTAS), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) telah bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar (PENIAT) sejak tahun 2016 bagi mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan keladi bunting. Pada tahun 2018, populasi keladi bunting berjaya dihapuskan sepenuhnya dengan menggunakan sebuah penuai (harvester). Bagaimanapun, setelah lima tahun berlalu, rebakan keladi bunting kembali mengancam tasik dan menganggu aktiviti perikanan para nelayan darat di sana. Pada tahun 2024, ahli akademik JSTAS sekali lagi telah meluangkan masa untuk mengunjungi tasik bekas lombong tersebut bersama pelajar tahun tiga Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar (BSTAS) untuk menjalankan kajian lapangan.
Para pelajar telah menuai keladi bunting daripada tasik berkenaan dan dibersihkan sebelum dibawa ke makmal di UPM kampus Serdang. Proses pengeringan keladi bunting ini mengambil masa selama sebulan untuk memastikan keladi bunting itu benar-benar kering dan mempunyai kandungan kelembapan yang rendah. Seterusnya, keladi bunting itu dikisar menggunakan sebuah mesin pengisar heavy-duty dan disaring dengan penyaring 1 mm untuk memisahkan partikel atau serat yang bersaiz lebih besar demi mendapatkan serbuk keladi bunting yang halus. Selesai proses penyaringan, pengikat (binder) gelatin dihasilkan daripada campuran tepung ubi kayu dan air panas yang dikacau sehinggan menjadi likat. Pengikat adalah bahan penting dalam penghasilan bahan api pepejal biojisim kerana fungsi utama pengikat adalah untuk memastikan bentuk bahan api tersebut itu dapat dikekalkan tanpa berderai dengan mudah.
Selepas itu, pengikat ubi kayu itu dicampur dengan serbuk ubi kayu dan campuran itu dimasukkan ke dalam acuan berbentuk silinder dengan teras di tengah. Acuan ini akan menghasilkan bahan api pepejal berbentuk silinder dengan lubang di tengah untuk memastikan bahan api tersebut dapat terbakar dengan mudah. Selepas itu, sebuah mesin penekan hidraulik manual telah digunakan untuk memampatkan campuran serbuk keladi bunting dan pengikat ubi kayu tersebut yang ada dalam acuan tersebut sehingga dapat membentuk bahan api yang dikehendaki dalam bentuk kek briket (briquette cake). Kek briket ini perlu dikeringkan terlebih dahulu untuk merendahkan kandungan kelembapan supaya dapat terbakar dengan mudah. Briket yang telah kering sepenuhnya sedia untuk dijadikan bahan api memasak sebagai sumber tenaga alternatif kepada penduduk tempatan.

Proses pengisaran keladi bunting

Proses pembentukan kek briket keladi bunting dengan menggunakan penekan hidraulik (tiada dalam gambar), acuan, dan kanji ubi kayu sebagai pengikat

Produk briket keladi bunting yang telah dikeringkan dan sedia untuk dijadikan bahan api alternatif