ISSUE 3 2025
Undang-undang Alam Sekitar dalam Menangani Krisis Kesihatan Planet
Mariani Ariffin
Pengenalan


Krisis alam sekitar seperti pencemaran oleh industri, perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti semakin pesat pada abad ke-21. Ini manandakan keperluan mendesak untuk kita menilai semula hubungan diantara kesejahteraan manusia dan alam semula jadi. Konsep kesihatan planet semakin mendapat perhatian sebagai satu kerangka integratif yang menekankan keterhubungan mendalam antara kesihatan manusia dan sistem ekologi Bumi (Whitmee et al., 2015). Bahkan Malaysia juga bakal memperkenalkan Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara untuk mengintegrasikan kesihatan planet ke dalam pelbagai dasar kebangsaan bagi mencapai pembangunan lestari yang lebih holistik. Konsep kesihatan planet ini melihat kemerosotan sistem semula jadi seperti udara, air, hutan, lautan, dan biodiversiti secara langsung akan melemahkan kelangsungan hidup manusia dan hidupan lain di bumi. Hakikatnya, kita telah “meminjam” bumi ini daripada generasi akan datang demi memperoleh keuntungan pembangunan. Dalam usaha memastikan pembangunan itu menjaga kelestarian planet untuk diwariskan kepada generasi masa hadapan, kesihatan planet muncul sebagai bidang transdisiplin dan berorientasikan penyelesaian yang meneliti kesan gangguan aktiviti manusia terhadap sistem semula jadi ke atas kesihatan manusia dan semua kehidupan di Bumi (Myers et al., 2021).

Berbanding tahun 1950-an, statistik dunia menunjukkan kadar kematian kanak-kanak menurun, jangka hayat dan kadar celik huruf pula meningkat, dan kadar kemiskinan tegar semakin berkurang (World Bank, 2018). Namun, pencapaian ini bersama pertambahan penduduk dan kemajuan teknologi telah menyebabkan peningkatan dramatik dan berterusan dalam aktiviti manusia dan kesannya terhadap Bumi (the Great Acceleration). Hal ini dicerminkan melalui peningkatan penggunaan sumber asli, pengeluaran barangan secara besar-besaran (goods production) serta diikuti dengan kemerosotan alam sekitar dan kehilangan biodiversiti yang semakin serius (Myers, 2017; Steffen et al., 2015). Dalam konteks ini, kesihatan planet bukan sekadar isu ekologi, tetapi agenda multidimensi yang merangkumi keadilan, kesaksamaan, dan kelestarian.

Seiring dengan itu, bidang undang-undang alam sekitar telah berkembang sebagai mekanisme institusi yang utama untuk mengawal selia, melindungi, dan mengurus alam sekitar. Melalui statut, peraturan, keputusan kehakiman, perjanjian antarabangsa, undang-undang alam sekitar menetapkan kewajipan yang boleh dikuatkuasakan terhadap kerajaan, korporat, dan individu. Pengintegrasian kesihatan planet ke dalam undang-undang alam sekitar menawarkan laluan ke arah membina masa depan yang adil dan lestari dengan menanamkan pertimbangan ekologi, kesihatan, dan keadilan dalam sistem undang-undang serta tadbir urus. Artikel ini meneliti hubungan antara kesihatan planet dan bidang undang-undang alam sekitar dengan tumpuan pada aspek keadilan, kelestarian, kesihatan, serta hala tuju undang-undang masa hadapan yang sejajar dengan kerangka holistik ini.
Keadilan dan Kesihatan Planet dalam Undang-Undang Alam Sekitar


Dimensi keadilan merupakan salah satu komponen penting kesihatan planet yang mana ia menuntut agar manfaat dan beban alam sekitar diagihkan secara adil, baik dalam kalangan masyarakat mahupun antara generasi. Keadilan dalam kesihatan planet berhubung rapat dengan konsep keadilan alam sekitar, yang telah lama menjadi tonggak utama undang-undang alam sekitar. Komuniti rentan seperti wanita, kanak-kanak, orang miskin dan kurang upaya sering menanggung beban lebih berat akibat pencemaran, pembalakan, dan kesan perubahan iklim, meskipun mereka paling sedikit menyumbang kepada masalah ini (Schlosberg, 2007). Undang-undang alam sekitar menyediakan mekanisme untuk menangani ketidaksamarataan ini, termasuk hak perlembagaan, langkah kawal selia, dan proses penyertaan masyarakat dalam membuat keputusan.

Pengiktirafan hak kepada persekitaran yang bersih, sihat, dan lestari oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2022 merupakan langkah bersejarah dalam menyelaraskan undang-undang dengan prinsip kesihatan planet (UNGA, 2022). Terbaru pada Julai 2025, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan pendapat perundangan berhubung perubahan iklim yang turut mengesahkan bahawa hak untuk mendapatkan persekitaran yang bersih, sihat dan lestari adalah norma undang-undang antarabangsa yang mengikat dan prasyarat untuk hak asasi manusia yang lain. Perkembangan positif ini mengukuhkan idea bahawa isu alam sekitar seperti pencemaran, air tidak selamat, dan kehilangan biodiversiti merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia.

Selain itu, undang-undang alam sekitar juga mewujudkan konsep keadilan antara generasi untuk memastikan sistem undang-undang mengambil kira hak generasi masa hadapan. Hal ini semakin ketara dalam litigasi iklim, di mana mahkamah menilai sama ada kegagalan kerajaan menangani perubahan iklim melanggar hak kanak-kanak dan generasi akan datang (Setzer & Higham, 2022). Contohnya, melalui kes yang dibawa oleh sekumpulan anak muda di Korea Selatan, Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan pada tahun 2024 bahawa beberapa bahagian dalam statut neutralisasi karbon negara itu gagal melindungi hak perlembagaan generasi akan datang. Kes-kes sebegini menonjolkan bagaimana undang-undang alam sekitar mengoperasikan prinsip kesihatan planet dengan menanamkan keadilan ke dalam kerangka tadbir urus.
Undang-Undang Alam Sekitar sebagai Alat Kelestarian


Mencapai kesihatan planet memerlukan manusia menimbangkan semula cara kita menghasilkan makanan, mengeluarkan barangan, menjana tenaga, membangunkan bandar, dan mengurus landskap (Whitmee et al., 2015; Myers, 2017). Oleh itu, kelestarian merupakan antara tonggak utama kesihatan planet. Ia menuntut keseimbangan antara had ekologi dan keperluan pembangunan manusia. Undang-undang alam sekitar menyediakan struktur untuk menginstitusikan prinsip kelestarian di pelbagai peringkat.

Di peringkat antarabangsa, perjanjian alam sekitar pelbagai hala seperti Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi menggambarkan usaha kolektif masyarakat dunia melalui undang-undang untuk menstabilkan sistem planet dan memelihara integriti ekologi (UNFCCC, 2015; CBD, 1992). Perjanjian ini mewujudkan kewajipan mengikat dan tidak mengikat bagi negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, memelihara ekosistem, dan mengurus sumber semula jadi secara bertanggungjawab. Undang-undang antarabangsa juga menunjukkan keupayaan untuk berkembang secara dinamik selaras dengan perubahan dan cabaran semasa berkaitan kesihatan ekologi planet. Contohnya pindaan terhadap Annex pada Konvensyen mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya bagi memperluaskan skop Konvensyen itu merangkumi sebahagian besar sisa plastik yang membanjiri ekosistem kita (Konvensyen Basel, 1989).

Di peringkat nasional, undang-undang alam sekitar turut menyediakan alat operasi bagi melaksanakan prinsip kelestarian. Contohnya, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Malaysia mewajibkan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek pembangunan yang besar. Ini memastikan pertumbuhan ekonomi diseimbangkan dengan pertimbangan ekologi. Begitu juga, prinsip "pencemar membayar" yang terkandung di dalam akta tersebut menuntut industri melaksanakan program pengawasan pencemaran di premis mereka, merawat keluaran sisa berbahaya dan menanggung kos pencemaran. Mekanisme ini menunjukkan bagaimana undang-undang alam sekitar menterjemahkan visi luas kesihatan planet kepada kewajipan dan amalan tadbir urus yang boleh dikuatkuasakan.
Kesihatan Manusia dan Perlindungan Alam Sekitar


Kerangka kesihatan planet menegaskan bahawa kesihatan manusia sangat berkait rapat dengan keadaan ekologi. Hal ini telah lama tercermin dalam undang-undang alam sekitar yang semakin menggabungkan objektif kesihatan awam. Peraturan mengenai kualiti udara, keselamatan air, dan bahan kimia berbahaya sering dilaksanakan bukan sahaja untuk melindungi ekosistem tetapi juga untuk mengurangkan penyakit pernafasan, penyakit bawaan air, dan pendedahan toksik (WHO, 2016). Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, contohnya, mentafsirkan pencemaran sebagai perubahan terhadap mana-mana elemen alam sekeliling akibat bahan keluaran dari aktiviti industri yang memberi kesan terhadap kesihatan awam dan semua hidupan yang lain. Dalam konteks ini, undang-undang alam sekitar berperanan sebagai satu bentuk dasar kesihatan awam yang bersifat mencegah. Ia turut mengiktiraf bahawa perlindungan undang-undang terhadap alam semula jadi turut mengurangkan beban penyakit serta meningkatkan kualiti hidup.

Banyak litigasi perubahan iklim semakin menyerlahkan kaitan kesihatan manusia dan perlindungan alam sekitar. Di serata dunia, plaintif termasuk daripada kalangan anak muda berhujah bahawa tindakan kerajaan yang tidak mencukupi terhadap perubahan iklim melanggar hak perlembagaan terhadap kehidupan, kesihatan, dan hak asasi mereka (Setzer & Higham, 2022). Dengan melihat perubahan iklim sebagai satu krisis alam sekitar dan kesihatan, konsep kesihatan planet ini semakin digunakan di mahkamah. Strategi undang-undang ini menonjolkan penggabungan di antara undang-undang alam sekitar dan hujah berasaskan kesihatan, sekali gus menggariskan kepentingan kesihatan planet dalam membentuk amalan undang-undang kontemporari.
Hala Tuju Masa Depan Undang-Undang Alam Sekitar dalam Kerangka Kesihatan Planet

Gambarajah 1: Hala Tuju Undang-Undang Alam Sekitar


Undang-undang alam sekitar mesti terus beradaptasi dan berinovasi bagi merealisasikan sepenuhnya visi kerangka kesihatan planet. Antara hala tuju masa hadapan yang penting untuk undang-undang alam sekitar adalah mengurus pencemar baharu seperti mikroplastik, pengganggu endokrin, dan sisa elektronik, yang menimbulkan ancaman serius tetapi kurang dikawal selia. Selain itu, penyertaan awam dan ketelusan juga perlu diperkukuhkan selaras Prinsip 10 Deklarasi Rio (UN, 1992) yang menekankan hak individu untuk mengakses maklumat, terlibat dalam proses membuat keputusan, dan hak mendapatkan keadilan. Pelaksanaan Prinsip 10 ini di sokong oleh Konvensyen mengenai Akses kepada Maklumat, Penyertaan Awam dalam Pembuatan Keputusan dan Akses kepada Keadilan dalam Perkara Alam Sekitar (Konvensyen Aarhus, 1998) dan Garis Panduan Bali mengenai perkara yang sama dan diterima pakai oleh UNEP pada tahun 2010. Akses kepada maklumat, keadilan, dan penyertaan awam merupakan komponen asas yang bukan sahaja memperkukuh ketelusan tetapi juga akauntabiliti dalam tadbir urus alam sekitar. Prinsip ini sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan sewajarnya diterima pakai secara menyeluruh oleh semua negara, termasuk Malaysia.

Disamping itu, undang-undang alam sekitar negara perlu mengiktiraf hak kolektif masyarakat awam dengan memperluas locus standi di mahkamah kepada masyarakat awam dalam kes pencemaran alam sekitar, dan tidak mengehadkannya hanya kepada individu yang mempunyai kepentingan langsung sahaja. Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan yang digariskan dalam konsep kesihatan planet, bagi memastikan manfaat dan mudarat daripada aktiviti manusia diagihkan secara adil dalam sesebuah komuniti, dan tidak ditanggung secara tidak seimbang oleh golongan rentan sahaja. Yang paling utama, undang-undang alam sekitar perlu lebih sejajar dengan undang-undang sektor lain termasuk kesihatan, pertanian, dan ekonomi untuk menangani isu sistemik seperti keselamatan makanan, urbanisasi, dan daya tahan iklim.
Kesimpulan


Kesihatan planet menyediakan satu kerangka komprehensif yang merangkumi integriti ekologi, kesejahteraan manusia, keadilan, dan kelestarian. Undang-undang alam sekitar pula menawarkan mekanisme institusi untuk menterjemahkan nilai-nilai ini kepada hak dan kewajipan yang boleh dikuatkuasakan. Dengan menangani isu keadilan, menanamkan prinsip kelestarian dalam tadbir urus, menghubungkan kesihatan manusia dengan perlindungan alam sekitar, serta berinovasi untuk cabaran masa depan, undang-undang alam sekitar berfungsi sebagai tulang belakang dalam merealisasikan kesihatan planet.

Membina masa depan yang adil dan lestari memerlukan undang-undang alam sekitar terus berkembang, memperkukuh perlindungan ekosistem sambil memastikan kesaksamaan dan kesihatan untuk semua. Pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ICJ terhadap hak asasi kepada persekitaran yang bersih, sihat, dan lestari merupakan pencapaian penting. Namun, lebih banyak perlu dilakukan di peringkat antarabangsa dan nasional untuk menyelaraskan undang-undang dengan imperatif kesihatan planet. Akhirnya, pengintegrasian kesihatan planet ke dalam undang-undang alam sekitar memastikan keadilan, kesaksamaan, dan kelestarian kekal sebagai teras tadbir urus alam sekitar, demi menjamin masa depan manusia dan planet ini.
Rujukan


Myers, S. S. (2017). Planetary health: Protecting human health on a rapidly changing planet. The Lancet, 390(10114), 2860–2868. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(17)32846-5

Myers, S. S., Pivor, J. I., & Saraiva, A. M. (2021). The São Paulo Declaration on Planetary Health. The Lancet, 398(10308), 1299. doi: 10.1016/S0140-6736(21)02181-4

Setzer, J., & Higham, C. (2022). Global trends in climate change litigation: 2022 snapshot. Grantham Research Institute on Climate Change and the Environment.

Steffen, W., Richardson, K., Rockström, J., Cornell, S. E., Fetzer, I., Bennett, E. M., Biggs, R., Carpenter, S. R., de Vries, W., & Sörlin, S. (2015). Planetary boundaries: Guiding human development on a changing planet. Science, 347(6223), 1259855. https://doi.org/10.1126/science.1259855

United Nations (UN). (1992). Rio Declaration on Environment and Development. UNCED.

United Nations General Assembly (UNGA). (2022). Resolution A/76/L.75: The human right to a clean, healthy and sustainable environment. United Nations.

Whitmee, S., Haines, A., Beyrer, C., Boltz, F., Capon, A. G., de Souza Dias, B. F., Ezeh, A., Frumkin, H., Gong, P., Head, P., Horton, R., Mace, G. M., Marten, R., Myers, S. S., Nishtar, S., Osofsky, S. A., Pattanayak, S. K., Pongsiri,
M. J., Romanelli, C., … Yach, D. (2015). Safeguarding human health in the Anthropocene epoch: Report of the Rockefeller Foundation–Lancet Commission on planetary health. The Lancet, 386(10007), 1973–2028. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(15)60901-1

World Bank. (2018). The decline of global extreme poverty continues, albeit at a slower pace. World Bank. https://www.worldbank.org/