Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) dan halatuju Jabatan Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia
Mohd Yusoff Ishak
Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 24 September 2024 dalam usaha membantu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti sektor perniagaan dalam mengurus risiko dan peluang untuk memperkukuh kemampanan terutama menghadapi krisis perubahan iklim dunia. Usaha untuk melonjakkan agenda kemampanan adalah penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan dan inklusif selain melindungi alam sekitar dan memulihara sumber asli. Antara langkah dalam agenda kemampanan di negara ini termasuklah melaksanakan pembangunan rendah karbon dan berdaya tahan iklim, mengurus sumber asli dengan lebih cekap, memperkukuh persekitaran yang menyokong inisiatif kemampanan serta memastikan kemampanan sektor tenaga dan transformasi sektor air.
Walaupun NSRF dibangunkan sejajar dengan piawaian IFRS Sustainability Disclosure Standards yang dikeluarkan oleh The International Sustainability Standards Board (ISSB) dan dikhususkan kepada pasaran modal kewangan, ia seharusnya menjadi panduan bagi institusi pengajian tinggi dalam melihatnya sebagai daya penarik terkini untuk bakal pelajar dan juga bidang pengetahuan baharu untuk diteroka.
Piawaian ini bertujuan untuk merapatkan jurang dalam pelaporan kemampanan dengan menyepadukan maklumat tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam arus perdana pendedahan kewangan. Selain itu, piawaian ini merupakan pendekatan yang konsisten untuk para syarikat mendedahkan risiko dan peluang kemampanan yang berupaya menjejaskan prestasi kewangan mereka. NSRF juga berfungsi untuk menangani keperluan maklumat oleh pihak pelabur dan pembiaya dalam usaha membantu mereka mencapai kata putus tentang peruntukan modal dan halatuju pelaburan.
NSRF hadir bagi menetapkan garis dasar yang teguh untuk pelaporan kemampanan dan berperanan penting dalam memacu daya saing korporat Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan di peringkat global. Selain itu, NSRF bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dalam pelaporan kemampanan.

Rajah 1: Muka hadapan dokumen The National Sustainability Reporting Framework (NSRF) Malaysia
Dalam konteks institusi pengajian tinggi (IPT), rangka kerja ini terkait dan sejajar dengan perkembangan semasa dalam kemampanan, tadbir urus korporat dan peranan pendidikan yang semakin penting untuk memacu pembangunan mampan. NSRF menyajikan peluang dalam pelbagai bentuk untuk pihak IPT menerajui agenda perubahan iklim. Antaranya potensi untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga dalam menghadapi krisis iklim melalui tata kelola dan pengoperasian institusi. Mengadaptasi NSRF bermakna pentadbir universiti harus meningkatkan cara berfikir tentang kemampanan bumi dan bukan hanya sekadar menganjurkan bentuk sambutan upacara sepertimana rutin. Ini merupakan kelebihan strategik yang sebenar bagi universiti sebagai gedung pemikir tindakan mendepani gelombang perubahan iklim dan menara ilmu penjana inovasi.
Universiti Putra Malaysia dalam konteks Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dan secara fokusnya Jabatan Alam Sekitar harus memanfaatkan sumber daya sedia ada dan menggunakannya untuk membuat keputusan yang lebih berani. Ini mengenai menukar cabaran dalam menentukan halatuju jabatan kepada peluang dan potensi bidang tujahan yang memacu inovasi selain membina daya tahan masyarakat kampus. Jabatan Alam Sekitar seharusnya berani menyepadukan piawaian global ini ke dalam kurikulum terkini, terutamanya yang terkait ekonomi, kajian alam sekitar, perancangan dan kursus tadbir urus. Perkongsian dengan mahasiswa tentang peri penting kewangan mampan dan akauntabiliti korporat akan menyediakan pemimpin masa depan untuk sejajar dengan trend pelaporan kemampanan global.
Perkembangan pantas tadbir urus iklim juga telah meletakkan Jabatan Alam Sekitar ke posisi terbaik untuk menarik pelajar yang mencari institusi pengajian dengan nilai sustainability-forward. Kurikulum berterasan ESG bakal membuktikan bahawa UPM bersedia untuk memimpin, merebut peluang dan mencipta nilai jangka panjang selaras dengan cogan kata UPM iaitu berilmu berbakti. NSRF bakal memberikan UPM platform untuk meningkatkan keterlihatan universiti dan menjadikan kemampanan sebagai strategi teras dan meletakkan UPM ke landasan yang betul untuk berjaya dalam dunia ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu yang berubah dengan amat pantas.