Denggi dan Perubahan lklim di Malaysia
PENGENALAN
Denggi merupakan penyakit yang digeruni di Malaysia dimana sehingga sekarang masih lagi belum ditemui ubat atau rawatan khusus untuk rawatan jangkitan denggi. Saban tahun, mereka yang dijangkiti denggi terus meningkat. Risiko maut adalah sangat tinggi kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung. Pada tahun 2022, bilangan jangkitan denggi adalah seramai 66,102 orang dengan kematian seramai 56 dan terus meningkat pada tahun 2023 dengan jumlah jangkitan seramai 123, 133 (86.3%) dan kematian seramai 100 (78.6%). Sehingga minggu epidemiologi ke 29 tahun ini, jangkitan demam denggi telah mencatatkan jumlah seramai 83, 131 iaitu peningkatan sebanyak 25.5% dibandingkan dengan tahun sebelumnya (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2024).
Seperti yang kita sedia maklum, kita menghadapi fenomena perubahan iklim global yang ditandai oleh cuaca ekstrim seperti panas yang keterlaluan dan berpanjangan dan kekerapan tinggi hujan lebat, dan juga kekerapan hujan yang sudah tidak mengikut musim seperti dahulu. Risiko jangkitan denggi telah dibuktikan meningkat dengan meningkatnya suhu purata, hujan dan juga kelembapan (Sarma et al., 2022). Peningkatan suhu menyebabkan nyamuk aedes matang dengan cepat dan hujan dan kelembapan yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan dari segi habitat nyamuk.
Denggi disebabkan oleh gigitan nyamuk Aedes iaitu Aedes egypti dan Aedes albopictus yang dijangkiti. Dalam menangani masalah kes denggi, selain pemahaman berkenaan dengan faktor yang mempengaruhi kitar hidup nyamuk aedes ini. Pelbagai kaedah kawalan dan pencegahan telah dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah denggi seperti pemantauan kes melalui indeks di kawasan berisiko tinggi, pemusnahan tempat pembiakan aedes terutamanya di kawasan berisiko tinggi, aktiviti pendidikan dan kesedaran, penglibatan komuniti dalam gotong royong dan juga penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (Kementerian Kesihatan Malaysia, 1986)
BENARKAH PERUBAHAN IKLIM MENYEBABKAN KES DENGGI MENINGKAT?
Demam denggi umum diketahui disebabkan oleh 4 jenis virus iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN4. Jangkitan denggi secara dinamiknya dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah ketahanan imuniti manusia, kapasiti vektor atau nyamuk, kepelbagaian virus, perubahan iklim dan cuaca, dan juga pergerakan penduduk (Hii et al., 2016).
Faktor iklim seperti suhu dan hujan adalah berkait rapat dengan faktor biologi dan penularan penyakit bawaan vektor. Hubungan antara perubahan iklim dan penularan jangkitan deman denggi adalah kompleks, di mana pertumbuhan nyamuk, jangka hayat serta penukaran jangkitan adalah bergantung kepada suhu tertentu. Iaitu pada suhu optimum mengikut spesis nyamuk, virus dan kawasan membolehkan penularan jangkitan lebih efektif di samping pengaruh dari faktor sosial dan ekologi yang lain (Ruhil et al., 2022). Kitaran gonotofik dipengaruhi dan kadar gigitan nyamuk adalah di pengaruhi oleh kekerapan nyamuk betina menghisap darah pada hos manusia dan juga bergantung kepada suhu. Apabila suhu meningkat, kekerapan nyamuk betina menghisap darah juga meningkat, dan kitaran gonotrofik itu lebih pendek (kulkarni et al., 2022).
Di samping itu, suhu yang lebih tinggi mungkin meningkatkan tempoh kecekapan Tempoh Inkubasi Ekstrinsik (EIP) bagi arbovirus dalam vektor. Oleh itu, nyamuk yang dijangkiti mungkin dapat bertahan lebih lama pada suhu yang lebih tinggi (Hasan et al., 2024). EIP (Extrinsic Incubation Period) adalah merujuk kepada masa yang di ambil oleh virus untuk berkembang di dalam nyamuk/vector sebelum virus itu berpindah ke manusia lain/perumah baru (WHO, 2024).
Selain suhu, peningkatan hujan mungkin meningkatkan bilangan tempat pembiakan yang sesuai seperti bekas buatan manusia yang dibuang secara tidak betul, saluran pada bumbung rumah, dan pasu bunga (Lowe et al., 2021). Hujan yang berpanjangan juga akan meningkatkan risiko penularan kerana nyamuk Aedes lebih suka air hujan berbanding air paip dan ia berkait rapat dengan kehadiran semak/tumbuhan di atas bekas tersebut (Tasya, 2022). Di bawah kawasan semak, air mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk kering, dan ia akan menjadi kawasan pembiakan. Situasi ini adalah salah satu masalah utama dalam usaha untuk menghapuskan sumber pembiakan di negara ini memandangkan Malaysia adalah negara tropika yang dikelilingi oleh kawasan tumbuh-tumbuhan (Tan et al., 2022).
Perubahan iklim dan di tambah pula dengan pembangunan tidak terancang menyebabkan bertambah tempat pembiakan nyamuk secara kondusif jika ia tidak ditangani dengan baik. Sebagai contoh di kawasan pembinaan terdapatnya penghadang plastik Jersey yang diisi dengan air untuk menjadikannya stabil. Akan tetapi kadang-kadang penutup atas penghadang plastik Jersey sering ditemui hilang dan ia mengakibatkan alat ini menjadi habitat buatan di tapak pembinaan (Wilke et al., 2019).
Selain faktor iklim, faktor sosiologi juga memberi impak kepada pembiakan nyamuk Aedes (Adnan et al, 2021). Antaranya adalah kepadatan isi rumah, keadaan kawasan perumahan yang kurang baik di samping terdapat tempat-tempat pembiakan, aktiviti harian penduduk, dan juga adanya taman-taman permainan dan kawasan rekreasi (Ruhil et al., 2022).
Dalam meningkatkan lagi keberkesanan dalam mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, faktor-faktor ini perlu diambil kira dalam perancangan pencegahan denggi. Tambahan lagi, faktor persekitaran seperti pelupusan sampah secara tidak betul oleh segelintir masyarakat menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2024).
RUMUSAN
Secara rumusan, kerjasama antara disiplin kajian perubahan iklim serta sektor perkhidmatan kesihatan awam iaitu bahagian kawalan penyakit berjangkit khusus nya amatlah penting. Pendidikan kesihatan awam kepada komuniti terhadap penularan jangkitan denggi dengan perubahan iklim perlulah diperkukuhan dan juga penambah baikan strategi kawalan oleh pihak kesihatan awam.
RUJUKAN
Adnan, R., Ramli, M., Othman, H., Asha’ri, Z., Ismail, S. S., & Samsudin, S. (2021). The impact of sociological and environmental factors for dengue infection in Kuala Lumpur, Malaysia. Acta Tropica, 216, 105834.
Hasan, M. N., Khalil, I., Chowdhury, M. A. B., Rahman, M., Asaduzzaman, M., Billah, M., Banu, L. A., Alam, M.-U., Ahsan, A., Traore, T., Uddin, M. J., Galizi, R., Russo, I., Zumla, A., & Haider, N. (2024). Two decades of endemic dengue in Bangladesh (2000-2022): trends, seasonality, and impact of temperature and rainfall patterns on transmission dynamics. Journal of Medical Entomology (2024) (In Press).
Hii, Y.L., Zaki, R.A., Aghamohammadi, N. et al. Research on Climate and Dengue in Malaysia: A Systematic Review. Curr Envir Health Rpt 3, 81–90 (2016).
Kementerian Kesihatan Malaysia (1986). Prevention and control guide for dengue fever/dengue hemorrhagic fever. Kuala Lumpur, Malaysia: Ministry of Health Malaysia.
Kulkarni, M.A., Duguay, C. & Ost, K. Charting the evidence for climate change impacts on the global spread of malaria and dengue and adaptive responses: a scoping review of reviews. Global Health 18, 1 (2022).
Lowe, R., Lee, S. A., O'Reilly, K. M., Brady, O. J., Bastos, L., Carrasco-Escobar, G., ... & Gasparrini, A. (2021). Combined effects of hydrometeorological hazards and urbanisation on dengue risk in Brazil: a spatiotemporal modelling study. The Lancet Planetary Health, 5(4), e209-e219.
Malaysia Ministry of Health. (2024). Situasi semasa demam denggi di Malaysia Bagi Minggu 52 tahun 2023 ( 24– 30 Disember 2023).
Malaysia Ministry of Health. (2024). Situasi semasa demam denggi di Malaysia Bagi Minggu 52 tahun 2022 ( 24– 30 Disember 2022).
Ruhil, A.A., (2022). Mapping dengue risk hotspots based on sociological, environmental and climatic factors using geographical information system (Doctoral dissertation, Universiti Putra Malaysia).
Sarma DK, Kumar M, Balabaskaran Nina P, Balasubramani K, Pramanik M, et al. (2022) An assessment of remotely sensed environmental variables on Dengue epidemiology in Central India. PLOS Neglected Tropical Diseases 16(10).
Tan, C. H., Lee, S. N., & Ho, S. B. (2022). Assessing the environmental effects on dengue fever and Malaysian economic growth. International Journal of Environmental Science and Development, 13(2), 49-56.
Tasya Febrial. (2022). Upaya pencegahan Penyebaran Penyakit Demam Berdarah Denggi dengan Melakukan Surveilans karva Nyamuk Aedes spp . Jurnal Pengabdian Ilmu Kesehatan, 1(3).
Wilke, André B B, Caban-martinez, A. J., Ajelli, M., Vasquez, C., Petrie, W., & Beier, J. C. (2019). Mosquito Adaptation to the Extreme Habitats of Urban Construction Sites. Trends in Parasitology, 35(8), 607–614.
World Health Organization: WHO. (2024, April 23). Dengue and severe dengue. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dengue-and-severe-dengue