Kemarau Ekstrem Bakal Melanda Negara: Bersediakah Kita?
Nor Rohaizah Jamil
Sejak di bangku sekolah, kita jelas bahawa kedudukan geografi negara ini di kawasan Khatulistiwa menyelamatkan kita daripada ancaman kemarau melampau. Ini kerana umum jelas, negara di kawasan zon khatulistiwa adalah panas dan lembap dengan taburan hujan dan pancaran matahari sepanjang tahun. Walaupun kita tidak dapat menikmati keindahan empat musim seperti di negara zon lain, kita bersyukur kerana Malaysia bebas daripada ancaman taufan dan siklon tropika, iaitu ribut kencang yang kerap melanda kawasan bertekanan rendah di lautan tropika. Namun, umum jelas bahawa kita masih terdedah kepada kesan monsoon iaitu daripada angin monsun Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya, yang mana kedua-duanya mempengaruhi taburan hujan di negara ini. Sepertimana rakyat Malaysia di Pantai timur semenanjung, Pantai utara sabah dan rakyat Sarawak bersedia untuk kesan monsun Timur Laut sekitar November hingga Mac, monsun Barat Daya sekitar Mei hingga hujung September pula menyebabkan beberapa kawasan tanah tinggi termasuk kawasan gunung seperti Bukit Larut, Gunung Jerai dan tanah tinggi lain menerima hujan lebat, dan ada juga kawasan terlindung yang sangat kering semasa monsun ini seperti di Kuala Pilah. Namun, semua yang kita ketahui tentang cuaca dan iklim Malaysia dahulu mungkin bukan lagi senario iklim dan cuaca kita pada hari ini. Ancaman kepada sumber air adalah bukan lagi bualan kosong.
Sedarkah kita perubahan cuaca di bumi Malaysia ini sudah tidak lagi dapat diramalkan berdasarkan ciri-ciri di atas. Pelbagai ketidaktentuan dan anomali ditemukan dalam corak perubahan cuaca dalam beberapa dekad terkini, mengakibatkan peramalan dan persediaan impak perubahan cuaca menjadi lebih serius. Jika kita sedari, kebelakangan tahun ini, kadar hujan adalah sangat lebat dan lebih kerap, diikuti dengan skala banjir yang lebih besar. Di waktu lain pula, apabila tiba bulan-bulan kering dan panas, bahang kering dan panas ini adalah lebih kerap dan berpanjangan, mengakibatkan kemarau ekstrim di sesetengah kawasan di Malaysia dan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna domestik dan bukan domestik. Berdasarkan ramalan kajian perubahan cuaca yang dijalankan oleh NAHRIM, dianggarkan kira-kira 9.4% kawasan Semenanjung Malaysia akan terdedah kepada banjir berskala 100 ARI pada 2050 meliputi kawasan seluas 6210 kilometer persegi berbanding hanya 3918 kilometer persegi, atau 6% pada tahun 2014. Berdasarkan ramalan 100 tahun perubahan cuaca yang dijalankan oleh NAHRIM dan MAMPU menggunakan analisis pemodelan big data daripada data IPCC, Semenanjung Malaysia dijangka akan mengalami kenaikan suhu sebanyak 0.6 oC hingga 0.9oC sahaja bagi ramalan sehingga 2030, dan bakal terus meningkat sehingga 1.2 oC hingga 1.6 oC menjelang 2050, dengan trend kenaikan yang hampir sama diramalkan untuk Sabah dan Sarawak. Ini bermaksud, hanya dengan peningkatan suhu yang kecil boleh mengakibatkan Malaysia bakal diancam dengan musim kemarau yang serius dan ekstrim dalam tempoh 2025-2035 (Semenanjung) dan 2045-2050 (Sabah dan Sarawak). Bersediakah kita?

Suhu panas dunia dijangka meningkat 1.58 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu sebelum zaman praperindustrian di Eropah 1850-1900 (Sinar Harian, 2024)
Ini bukan kali pertama kita mendengar berlakunya kemarau di Malaysia, bukan? Namun ancaman perubahan cuaca akan menyebabkan episod kemarau kali ini lebih serius dan berisiko kepada bukan hanya sektor air, malah sektor pertanian dan Perindustrian turut akan terjejas teruk. Sebagai rujukan episod kemarau negara yang lalu, tahun 1990 merekodkan Krisis air di Melaka dan Johor yang memberi kesan serius kepada rakyat khususnya di bumi Melaka yang berhadap dengan masalah tiada air hampir 8 bulan lamanya. Tahun 1997-1998 adalah di antara tahun pertama el-nino direkodkan dengan sekurang-kurangnya 7 negeri terjejas ( Perlis, Kedah, Perak ,Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka) di mana kemarau selama 6 bulan memberi impak kepada 3.2 juta pengguna dengan anggaran kerugian kira-kira RM27bilion. Tahun 2005 menyaksikan krisis air selama 5 bulan menyebabkan catuan air yang menjejaskan hampir 500,000 penduduk di Seremban dan Gemas, dan tahun 2007 pula merupakan antara tahun di mana catuan air pertanian terpaksa dibuat berikutan cuaca ekstrim. Episod El-Nino seterusnya menyebabkan jerebu dan cuaca panas melampau di sekitar Kota Kinabalu, Sabah, Beufort, Papar dan Tuaran, yang turut mengakibatkan kebakaran hutan tidak terkawal Ketika itu. Tahun 2014 pula merekodkan kemarau dan musim kering serius yang menyebabkan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor, mengakibatkan kerugian yang sangat besar. Antara industri yang terjejas teruk Ketika itu adalah syarikat Panasonic dengan nilai kerugian mencecah RM40juta, Nestle RM15juta dan juga sektor pertanian di Kelantan melibatkan 8000 petani dan anggaran kerugian sebanyak RM90juta. Selepas tahun tersebut, episod el-nino menjadi lebih kerap yang menyebabkan banyak empangan dan tadahan hujan terjejas teruk. Ancaman kemarau adalah satu ancaman yang amat berisiko tinggi kepada hampir semua sektor pengguna.
Ia bukan hanya menjejaskan bekalan air bagi kegunaan harian domestik, malah ia turut akan memberi impak yang signifikan terhadap sektor pertanian yang akan membawa kepada krisis air dan makanan serius. Walaupun Kerajaan mengambil inisiatif khusus bagi tujuan peramalan dan amaran awal berlakunya kemarau menerusi sistem NAWABS, ia adalah bertujuan untuk memberi masa bagi pelan Tindakan kemarau oleh pengurus air di peringkat negeri yang terjejas. Namun, kesedaran di kalangan penduduk Malaysia berkenaan kepentingan penjagaan dan penjimatan air masih sangat rendah. Ini berikutan kadar bil air di negara ini adalah kira-kira empat kali ganda lebih murah berbanding di negara lain. Malaysia turut diancam dengan air tidak terhasil (non-revenue water) iaitu air yang tidak dapat digunakan kerana hilang dalam bentuk paip bocor dan isu ketirisan sistem agihan. Hampir 60% air hilang dalam bentuk NRW di negara ini. Pencemaran air dan lain-lain isu air turut mengakibatkan jumlah air boleh digunakan semakin rendah.

Cuaca panas dan kekurangan air menyebabkan tekanan (stres) pada pokok padi seterusnya menjejaskan hasil.
Sebagai langkah persediaan menghadapi kemarau, setiap penduduk Malaysia perlu bersedia menyahut cabaran ke arah mencapai tahap penggunaan air saranan nasional iaitu 180 LCD (liter per kapita sehari) menjelang 2025, dan menyahut cabaran global iaitu ke arah 165 LCD, berbanding kadar penggunaan air sekarang (237 LCD). Rakyat Malaysia perlu berusaha untuk mengurus permintaan air bermula di rumah dengan mengamalkan penjimatan air dalam semua konteks kehidupan harian. Amalan yang kecil dan mudah seperti membaiki paip bocor, menghadkan masa mandi efektif, cermat air semasa membasuh dan mengguna semula air adalah antara Langkah kecil yang mudah, namun dapat memberikan kesan kolektif kepada usaha menghargai air di negara ini. Ini bukan sekadar menjimatkan bil air, namun adalah lebih penting dalam mempersiapsiagakan rakyat Malaysia yang berdayatahan dalam menempuh episod kemarau yang mungkin melanda tidak lama lagi. Ancaman kepada sumber air bukan lagi isu remeh. Kita perlu mengambil tindakan segera untuk mengurangkan penggunaan air dan mempersiapkan diri menghadapi perubahan iklim yang semakin tidak menentu.