Kesedaran Pengurusan Sisa Makanan oleh Warga Kota
Muhammad Heikal Ismail
Kesedaran pengurusan sisa makanan dikalangan warga kota merupakan agenda yang penting untuk direalisasikan. Program seperti MySaveFood@Ramadan 2024 yang dianjurkan selama 26 hari di 139 bazar Ramadan yang lalu telah berjaya menyelamatkan sebanyak 60.65 tan makanan dan minuman berjumlah RM724,770. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata pencapaian MySaveFood@Ramadan 2024 itu turut meliputi sebanyak 113,763 kilogram pelepasan gas rumah hijau yang dapat dihalang.
Beliau berkata satu ekosistem pengurusan lebihan makanan sedang dirangka untuk memperkasa pelaksanaan program sama pada tahun hadapan. Namun persoalannya di sini, adakah inisiatif ini sahaja cukup dalam mendepani isu lambakan sisa makanan yang kian meruncing dalam negara terutamanya di kawasan bandar?
Kerajaan masih lagi perlu membelanjakan jutaan ringgit dalam menguruskan pelupusan sisa pepejal negara. Malah, hangat juga baru-baru ini apabila lambakan sisa makanan dan sisa air yang dibuang dalam premis pasar malam disediakan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal yang mengundang perdebatan umumi. Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran masyarakat dalam memperkasa pengurusan sisa pepejal masih berada pada skala membimbangkan.
Jika tidak ditangani secara serius pada kadar segera, ini akan menimbulkan lebih banyak ancaman negatif bukan sahaja dari aspek alam sekitar malah kelangsungan hidup rakyat terutamanya di kawasan bandar yang menyumbang penjanaan sisa pepejal yang ketara berbanding kawasan luar bandar.
Kunci utama kepada pengurusan sisa pepejal yang mampan adalah pengasingan sisa di punca. Oleh itu, kerajaan negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 iaitu Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya seharusnya telah mewajibkan pengasingan sisa di punca.
Namun, di mana silapnya kerana sehingga hari ini, aktiviti mengasingkan sisa pepejal tidak dilihat secara dampak dalam kalangan masyarakat. Beberapa kempen pengasingan sisa pepejal dapat dilihat pada papan iklan gergasi dan media sosial seperti X. Kerajaan digesa untuk mempelbagaikan kempen secara lebih agresif termasuk menggunakan platform pempengaruh supaya pelaksanaan pengasingan tersebut dapat dibuat secara lebih tuntas yang dilihat dapat menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan yang menelan belanja hampir RM2 bilion setahun.
Untuk membantu menggalakkan inisiatif pengasingan sisa pepejal ini, kerajaan diharap dapat menentukan jenis plastik yang lebih sesuai berbanding membiarkan sebarangan plastik. Apatah lagi kebanyakan masyarakat memilih untuk menggunakan plastik dengan gred rendah atas faktor penjimatan yang menyukarkan proses kutipan sisa domestik akibat mudah bocor. Tahukah anda bahawa sisa plastik mengambil masa sebanyak 20 ke 500 tahun untuk terhurai bergantung kepada struktur bahan dan faktor alam sekitar seperti pendedahan kepada matahari. Penghuraian plastik pula membebaskan metana dan etilena yang merupakan dua sumber gas rumah hijau yang berbahaya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keadaan yang berterusan ini pasti menjejaskan kehidupan masyarakat sekitar dan mengancam kestabilan ekosistem alam semula jadi yang dapat manghakis nilai kemanusiaan dalam diri. Penganjuran program seperti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah amat signifikan walaupun kelihatan begitu asas. Ini kerana, katanya sumber alam semula jadi seperti hutan dan sungai adalah khazanah negara amat berharga dan sebarang pencemaran sisa di kawasan tersebut hanya memberikan impak tercela terhadap usaha kelestarian yang dilakukan.
Adalah tidak menghairankan bahawa sisa makanan menyumbang lebih 40% dan semakin meningkat tinggi dari keseluruhan penjanaan sisa pepejal dalam negara dan hampir kesemuanya dibuang di tapak pelupusan sampah dengan kapasiti yang semakin meruncing. Perkara paling asas dalam pengurusan sisa makanan adalah pembelian stok makanan yang dibuat secara berhemah berdasarkan jumlah isi rumah dan bilangan hidangan lengkap yang perlu direncana terlebih dahulu. Ini untuk mengurangkan kadar kekerapan buangan stok makanan yang telah tamat tempoh.
Susunan stok makanan dalam rak dan peti ais adalah disarankan untuk dibuat mengikut tahap mudah rosak dan tarikh luput. Selain itu, makanan yang tidak habis boleh diolah untuk penyediaan set juadah seterusnya. Contohnya nasi putih yang berlebihan pada makan tengahari boleh dibuat cucur nasi untuk minum petang atau nasi goreng untuk juadah makan malam.
Bagi sesetengah rumah yang mempunyai tanah untuk tujuan bercucuk tanam atau penternakan ayam sebagai contohnya, sisa makanan yang bersesuaian boleh dijadikan sebagai kompos atau makanan haiwan. Pelbagai kaedah pengkomposan dapat dilakukan seperti trench, dan vermi menggunakan cacing merah atau larva askar lalat hitam. Malah, larva askar lalat hitam juga boleh berfungsi sebagai sumber protein untuk kegunaan haiwan ternakan.
Namun, tidak dinafikan adalah satu cabaran bagi masyarakat di kediaman bertingkat untuk memperkasa amalan pengurusan sisa makanan. Ditambah pula dengan kehidupan di bandar yang menuntut pelbagai komitmen. Pengkomposan secara Bokashi merupakan satu alternatif terbaik yang tidak memerlukan ruang yang luas dan tidak mengeluarkan bau yang kurang enak. Malah, bagi sesetengah masyarakat yang berminat bercucuk tanam boleh dilihat menyemai tanaman herba di ruangan balkoni rumah. Baja kompos yang dihasilkan dari kaedah Bokashi boleh menjadi sumber nutrien untuk tanaman tersebut.

Kempen pengasingan sisa pepejal oleh SWCop. Malaysia
Berdasarkan tinjauan dilakukan di sekitar Yogyakarta, Indonesia, terdapat beberapa komuniti di sana yang telah berjaya menjana biogas daripada sisa tauhu dan tofu. Mereka hanya perlu membayar sejumlah kecil wang untuk tujuan penyelenggaraan mesin tersebut. Jika dibandingkan dengan jumlah wang yang perlu dibayar untuk gas masakan, penjimatan dua kali ganda dapat diperhatikan. Oleh itu, inisiatif ini merupakan satu usaha kelestarian alam sekitar yang dilihat berpotensi untuk dipraktikkan di Malaysia. Oleh itu, diharap agar kerajaan dapat memandang serius perkara ini dalam menyahut seruan Sustainable Development Goals (SDG) seperti yang diunjurkan oleh Parti Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam masa terdekat.
Oleh itu, satu tekad lebih khusus dan beriltizam dalam bertiwikrama ke arah meningkatkan kesedaran terhadap semua aspek kelestarian alam sekitar harus kita sama-sama mainkan peranan supaya bumi yang lebih sejahtera dapat kita wariskan untuk generasi akan datang. Ingatlah bahawa kita tidak mewariskan alam ni dari generasi terdahulu tapi kita cuma meminjamnya dari generasi masa depan.